Showing posts with label Teks. Show all posts
Showing posts with label Teks. Show all posts

Haron Din Jawab Fitnah Merawat Guna Jin

Sepanjang menjalankan penyiasatan terhadap kumpulan Mama, kami di Mastika memang agak terperanjat apabila mengetahui ketua kumpulan ini mendakwa ramai ulama, ustaz & ustazah yang mengamalkan perubatan & rawatan tradisional dengan cara yang menyalahi agama.

Berdasarkan maklumat yang kami perolehi daripada pengikut kumpulan ini, termasuk pesakit-pesakit yang pernah berubat dengan Mama, mereka mengesahkan Mama telah berkata demikian.

Sewaktu berkunjung ke rumah Mama dulu, kami sempat berbual dengan seorang ahli keluarga terdekat Mama. Dalam perbualan itu, lelaki berkenaan turut mengiakan bahawa Mama memang menegah anak muridnya daripada mempercayai para ulama serta pengamal perubatan Islam yang membela jin & khadam.

Dakwanya juga, Mama tidak membenarkan muridnya mempercayai ulama terkenal, Dato' Dr Haron Din al-Hafiz yang mengetuai kumpulan Darussyifa. Kononnya ulama tersohor itu membela jin & khadam.

Seorang pembaca Mastika yang menghantar e-mel kepada Dhamran Sarahan juga ada mengatakan demikian. Penghantar e-mel tersebut, yang juga bekas pengikut Mama mengatakan, "ada saya nyatakan pada mama itu yg saya pernah berubat dgn ustaz, malangnya mama bilang ustaz itu & malah haron din sendiri serta anak2 buahnya juga ada jin. Seolah-olah beliau inginkan kepercayaan saya terhadap para ulama hilang."

Kami tidak mendiamkan hal ini. Pada 20 Ogos yang lepas, wartawan Mastika, Shamran Sarahan telah berjumpa dengan Dato' Dr Haron Din di Darussyifa, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Bersama Dato' Dr Haron Din: Usah Ada 'Nujum Pak Belalang' Dalam Perkahwinan

SOALAN :
Dato', saya merancang mendirikan rumah tangga tidak lama lagi. Ibu bapa saya merestui, tetapi salah seorang bapa saudara saya yang kebetulan mempunyai ilmu agama agak tinggi, memberitahu kami semua bahawa perkiraan nama saya dengan bakal suami saya yang di'bin'kan kepada ibu masing-masing, katanya, hasilnya amat tidak sesuai. Jika dikahwinkan juga, pasti akan bergaduh. Kami sekeluarga agak bingung, benarkah ada ilmu agama yang dikira dari nama bakal pengantin, dengan ibu mereka, boleh dikira sebagai penentu masa hadapan, baik atau buruk. Tolong Dato' perjelaskan - LATIFAH AHMAD, Alor Setar

JAWAPAN:
Hal sebegini banyak berlaku dalam masyarakat kita. Amalan sebegini ada yang menamakannya Kasyaf. Ada yang kata tenung makrifat. ada yang kata nujum & berbagai-bagai lagi.

Hakikatnya, yang sebahagian besarnya berlaku adalah 'auta'; temberang kosong atau omong kosong.

Kerana apa yang disebut sebagai merenung nasib atau tengok nasib hingga dapat memberitahu perihal masa hadapan seseorang, hendak jadi baik atau buruk, hendak kekal bahagia hingga ke akhir hayat atau bergaduh di pertengahan jalan.

Itu semua adalah perkara-perkara ghaib. Tiada manusia mengetahuinya melainkan Allah SWT sahaja Yang Maha Mengetahui.

Perihal perkahwinan, patut kita pandu dengan ajaran Islam, bukan dengan kata-kata seperti persoalan anda di atas, ataupun kata mana-mana orang yang berpandu dengan tilik-meniliknya.

Rasulullah SAW bersabda, hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hatim al-Muzani yang mafhumnya:
"Apabila datang kepadamu (wali), pinangan ke atas orang di bawah jagaanmu daripada calon suami yang kamu berpuas hati Iredha) agamanya & akhlaknya, maka hendaklah kamu mengahwinkannya. Sekiranya kamu tidak melakukannya, nescaya akan mengundang fitnah (suatu yang buruk) & mengundang kerosakan yang banyak (lebar) di bumi Allah" (riwayat at-Tarmizi).

Hadis di atas jelas memberitahu kita bahawa perkahwinan tidak dirujuk kepada firasat, tenung makrifat atau 'Nujum Pak Belalang'.

Yang menjadi fokus utama ialah komitmen keagamaan & akhlak yang terpuji. Jika kedua-dua ini jelas nyata, maka kahwinlah.

Rasulullah SAW tidak pernah sekalipun dalam hidupnya, tatkala hendak mengahwinkan puteri-puteri bagainda atau mengahwinkan anak-anak para sahabat, tidak sesekali dengan mengira nama bakal pengantin yang dicampurkan dengan 'bin' ibu mereka.

Dalam masyarakat Islam yang dipimpin oleh Rasulullah SAW dahulu, ada suatu peristiwa perancangan perkahwinan yang Nabi SAW sendiri tidak merestuinya, bukan kerana firasat atau tenung nasib, tetapi kerana fakta fizikal yang jelas.

Senario ketika itu berlaku di mana seorang perempuan bernama Fatimah binti Qais meminta nasihat Baginda SAW tentang 2 orang calon suaminya; mana satu Baginda SAW hendak pilihkan sebagai suaminya. Seorang bernama Abu Jahm & seorang lagi bernama Mu'awiyah.

Mendengar nama 2 sahabat itu, Rasulullah SAW tidak mengira atau menghitung nama mereka atau nama ibu mereka. Malah Baginda SAW tidak membuat sebarang perhitungan kerana Baginda SAW mengenali mereka berdua.

Nabi SAW menasihatkan Fatimah binti Qais, "Usah berkahwin dengan Abu Jahm, kerana beliau selalu sangat mengembara dengan meninggalkan rumahnya. Dan, jangan pula berkahwin dengan Mu'awiyah kerana dia tidak mempunyai harta, tetapi berkahwinlah dengan Usamah bin Zaid, kerana dia lebih baik daripada kedua-duanya."

Akhirnya Fatimah berkahwin dengan Usamah & bahagialah mereka sepanjang hayat.

Apa yang bapa saudara anda lakukan itu, saya tidak mengetahui apa asas perbuatannya. Tetapi natijah daripada perhitungannya itu, dia seolah-olah mengetahui masa hadapan anda.

Amalan seperti itu menyamai amalan merenung nasib & mendakwa dia mengetahui sesuatu yang ghaib, hal sedemikian tidak benar & tidak mungkin benar.

Firman Allah (mafhum-Nya):"Tuhan sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Ia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahui-Nya itu kepada sesiapa pun [26]. Melainkan kepada mana-mana Rasul yang diredhai-Nya (u ntuk mengetahui sebahagian daripada perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya; apabila Tuhan hendak melakukan yang demikian) maka Ia mengadakan di hadapan & di belakang Rasul itu malaikat-malaikat yang menjaga & mengawasnya (sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang berkenaan) [27]." (Surah al-Jinn, ayat 26-27).

Daripada Imran bin Husain RA katanya, Nabi SAW pernah bersabda (mafhumnya):
"Bukan daripada golonganku (bukan umatku) sesiapa yang membuat ramalan perkara ghaib, atau orang yang meminta nasibnya diramalkan." (riwayat al-Bazzaj dengan sanadnya yang kuat - jayyid).

Banayk lagi hadis yang seperti ini. Iaitu Rasulullah SAW amat melarang umatnya merenung nasib atau memberitahu orang mengenai perkara ghaib.

Itu semua adalah kerja Allah SWT, kita hanya berpandu kepada fakta-fakta zahir, sama ada sesuai atau tidak sesuatu perkahwinan berdasarkan kepada fakta yang ada di hadapan kita.

Fakta sebenarnya ialah komitmen keagamaan & kemulian akhlak sebagaiman hadis Baginda SAW (mafhumnya):
"Pilihlah orang yang kuat komitmen keagamaannya, kamu pasti akan mendapat keberuntungan."

Wallahu a'lam bissawwab.

Sumber : Harakah

Pertemuan Ulama, Artis Tangani Isu Moral

Oleh: Intan Abdullah

KUALA LUMPUR: Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din mengesyorkan agar para artis mengadakan pertemuan dengan golongan ulama bagi mendapatkan ilmu agama khususnya dalam memperbaiki masalah akhlak & kefahaman agama.
Muthakhir ini terdapat banyak masalah yang melaknda para artis sehingga timbul isu artis tidak layak untuk dijadikan idola kepada masyarakat khususnya golongan remaja sehingga ada yang berpendapat salah satu faktor yang menyumbang ke arah berlakunya masalah tersebut adalah disebabkan tiada teguran daripada golongan alim ulama kepada mereka.
"Walau apa pun, saya menyanjung sikap para artis yang mula menunjukkan minat ke arah mendapat teguran daripada para ulama & saya mengesyorkan biar para artis sendiri menganjurkan siri pertemuan yang mereka boleh pilih ulama untuk untuk dijemput ke tempat mereka," katanya kepada Harakah ketika dihubungi dari Makkah.
Hal tersebut ujarnya, adalah bertujuan untuk memberi kelesesaan kepada para artis sesuai dengan tahap penerimaan masing-masing terhadap seseorang ulama tersebut.
"Kalau itulah yang selesa kepada mereka daripada mereka pergi ke tempat ulama-ulama mengajar di tempat pengajian atau rumah mereka," ujarnya.
Ustaz Haron yang juga pengasas Darussyifa' turut menyatakan bahawa apabila seseorang itu terlibat atau sabit melakukan apa-apa kesalahan, orang itu akan menyalahkan orang lain sebagai salah satu daripada cara mempertahankan diri.
Tambahnya, terdapat dakwaan yang menyatakan para artis tua tidak mendapat teguran daripada ulama apabila mereka dikaitkan dengan sesuatu isu.
"Apa yang berlaku baru-baru ini apabila golongan artis tertentu bahawa mereka kurang mendapat teguran daripada golongan ulama adalah semata-mata untuk meletakkan kesalahan itu kepada golongan ulama sedangkan yang dipanggil ulama adalah golongan yang diiktiraf keilmuan mereka," tegasnya lagi.
Menurutnya, ulama yang dimaksudkan itu adalah golongan yang profesion mereka menyeru kepada Allah dalam berbagai-bagai bentuk bukan sahaja bertemu untuk berdakwah akan tetapi ia turut merangkumi kenyataan media yang dikeluarkan, ceramah & kuliah malah penulisan mereka.
Oleh yang demikian Ustaz Haron turut mencadangkan pihak artis agar mendapatkan hasil dakwah para ulama ini melalui penerbitan yang dihasilkan daripada mana-mana tempat.
"Adalah para artis pernah memiliki bahan tersebut? Kalau semua sudah tersedia tetapi mereka tidak berusaha untuk memilikinya & tidak pula pernah pergi mendengar ceramah-ceramah mereka & tidak pula pernah pergi menemui mereka untuk mendapatkan nasihat mereka, maka wajarkah ulama hendak dipersalahkan?
"Meskipun saya mengakui tidak banyak berlaku pertemuan antara saya dengan artis, tetapi bukanlah bererti tugas dakwah kita tidak boleh sampai kepada mereka kerana kebanyakan daripada kerja-kerja dakwah sudah terkumpul dalam bentuk VCD," tegasnya.
Beliau tertanya-tanya sama ada golongan artis pernah berusaha untuk mendapatkannya.
"Apakah golongan yang dikatakan tidak sampai dakwah kepada mereka itu berusahakah atau tidak bagi mendapatkan nasihat itu?
"Sepatutnya sama-samalah berusaha - golongan ulama menyampikan pengajaran & golongan artis pula menunjukkan sikap positif menghadiri majlis-majlis ilmu," jelasnya lagi.

Sumber: Harakah

Sebatan Ikut Islam Mampu Didik Manusia

Oleh : Intan Abdullah

KUALA LUMPUR: Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din menyeru agar umat Islam komited dengan hukum Allah & sentiasa meletakkan hukum-hukum itu sesuai untuk manusia & mampu mencegah jenayah.
"Semua hukuman Allah ke atas manusia adalah untuk kebaikan mereka di dunia, lebih-lebih lagi di akhirat," katanya kepada Harakah ketika diminta mengulas mengenai pendedahan Menteri Keselamatan Dalam Negeri (DDN), Dato' Seri Hishamuddin Hussein mengenai 3 wanita yang melakukan kesalahan jenayah syariah menjalani hukuman sebat, 9hb Februari lalu di Penjara Wanita Kajang.
Hishamuddin dilaporkan berkata, 3 pesalah wanita itu bersama 4 lagi pesalah lelaki dihukum sebat mengikut Seksyen 23(2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 (Persetubuhan Haram) yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur antara Disember 2009 hingga Januari tahun ini.
Menurutnya, wakil dari KDN turut hadir semasa pelaksanaan hukuman dibuat 13 orang lagi antaranya Pengarah Jabatan Agama Wilayah, Pegawai Jabatan Agama Wilayah & wakil dari Bahagian Syariah Jabatan Peguam Negara serta wakil dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Mengulas lanjut, Ustaz Dr Haron menjelaskan hukum hudud yang turut merangkumi sebatan diwajibkan Allah untuk dilaksanakan ke atas pesalah yang sabit kesalahannya adalah untuk kebaikan dirinya & ia mengandungi hikmah kepada semua pihak termasuklah kepada masyarakat sekeliling sebagai suatu proses pentarbiyahan atau pendidikan total.
Beliau berkata, ganjaran yang paling penting adalah Allah akan memelihara seseorang itu daripada terus melakukan keburukan sebagai kesan daripada hukuman tersebut.
"Yang penting & wajib difahami oleh seluruh umat Islam bahawa Allah menjanji akan memesongkan hati orang-orang yang melakukan kejahatan kepada membencinya & tidak mahu lagi melakukannya kerana Allah menjanjikan pencegahan itu."
"Seperti yang dinyatakan Allah di dalam Surah An-Nur yang bermaksud: Yang sabit melakukan jenayah mencuri lelaki atau perempuan maka jatuhlah hukuman Hudud ke atas mereka dengan memotong tangan mereka sebagai balasan yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukan & allah berjanji akan melakukan pencegahan jenayah itu sebagai jaminan daripada Allah," jelasknya lagi.
Ini bererti ujar Ustaz Dr Haron, hudud yakni termasuk sebatan yang diperkatakan dalam penjara yang dilaksanakan jika dilaksanakan seperti mana mengikut perintah Allah, maka Allah akan menolong manusia mengubah hati-hati manusia daripada suka melakukan jenayah kepada membencinya.
"Kerja-kerja itu tidak mampu dilakukan oleh manusia kerana yang mampu hanyalah Allah sahaja. Inilah yang tidak dapat difahami oleh ramai manusia kerana mereka hanya melihat dari segi negatifnya dengan sengaja mencari alasan menafikan hukum Allah dengan menuduh hukuman sebat seperti yang dilaksanakan di penjara tidak mampu memberi pengajaran kepada manusia.
"Kenapa apabila hukuman yang dikaitkan dengan hukuman Islam seperti sebat yang diperkatakan diberi komentar yang negatif sedangkan hukuman-hukuman lain yang dilaksanakan di penjara atas nama hukuman sivil tidak dikomentar negatif seperti yang berlaku sekarang?" soal beliau.

Sumber : Harakah

Bersama Dato' Dr Haron Din: Adil Bukan Bermakna Pembahagian Sama Rata

SOALAN:
Dato', ayah kami sudah uzur, dia selalu menyebut-nyebut bahawa harta peninggalannya yang agak banyak, selepas kematiannya dibahagi sama rata. Kerana katanya Allah, kurnia anak-anaknya dengan adil, 3 lelaki 3 perempuan. Katanya, dia tidak mahu menzalimi anak-anaknya dengan membahagikan harta yang tidak adil & sama rata. Dia tidak mahu membeza-bezakan. Sekarang dia telah kembali ke rahmatullah. Apakah itu wasiat yang kami harus tunaikan? Mohon Dato' perjelaskan - ABDUL MUNIR, menerusi emel.

JAWAPAN:
Apa yang ayah anda sebut-sebut itu, adalah perasaannya, kasih sayangnya kepada anak-anak. Keinginan dirinya yang berdasarkan kepada suara emosinya. Bukan diasaskan kepada hukum Allah.
Hukum Allah adalah selama-lamanya adil. Jangan sekali-kali dikatakan tidak adil, semata-mata kerana Allah tidak menyamaratakan pembahagian harta pusaka.
Allah menetapkan hukum kepada anak lelaki mendapat habuan lebih sekali ganda berbanding anak perempuan.
Allah amat Mengetahui keperluan hamba-Nya. Allah maha Mengetahui tugas & kewajipan setiap individu dalam kehidupan sosialnya.
Allah menetapkan pembahagian pusaka dengan adil.Adil bukan bermakna mesti sama rata pembahagiannya.Adil dengan makna, Allah meletakkan sesuatu hukum itu, sesuai & kena pada tempatnya.
Di dalam pembahagian harta pusaka, hukum yang Allah turunkan amat jelas. Seperti yang difirman-Nya (mafhum-Nya):
"Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh si mati dan jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah satu perdua (separuh) harta itu dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: Satu perenam dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai anak. Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedang yang mewarisinya hanyalah kedua ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah satu pertiga. Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah satu perenam. (Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati dan sesudah dibayarkan hutangnya. Ibu-bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antaranya yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu. (Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah) ketetapan dari Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana." (Surah an-Nisa', ayat 11)
Dalam ayat tersebut Allah menggunakan perkataan 'Yuseekum' bermakna Allah mewasiatkan. Jika wasiat Allah itu berlawanan dengan wasiat ayah anda, manakah satu wasiat yang mesti diutamakan? Tentulah wasiat Allah.
Namun timbul satu masalah, bolehkah seseorang itu mewasiatkan hartanya kepada warisnya. Anak-anak adalah waris. Wasiat harta kepada waris adalah terbatal. Dalam istilah undang-undang disebut 'null & void'.
Bersandarkan kepada hadis Amruu bin Kharijah, katanya:
"Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud): Sesungguhnya Allah SWT telah memberi hak kepada setiap seseorang yang berhak ke atasnya sesuatu hak. Maka tidak ada wasiat ke atas warisnya."
Oleh itu menjawab persoalan anda, adalah tidak sah wasiat itu ditunaikan kerana masing-masing anak ada haknya yang jelas sebagaimana yang ditetapkan dalam al-Quran seperti firman Allah (mafhum-Nya):
"Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, samada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu; iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah)." (Surah an-Nisa', ayat 7)
Namun demikian, sekiranya anda sekeluarga, ingin memberikan harta peninggalan ayah secara sama rata, maka anda boleh melakukannya tetapi bukan kerana wasiat.
Ia harus dibuat secara sukarela, iaitu dengan menggugurkan hak yang ada kepada lelaki yang mendapat sekali ganda dari hak perempuan, dengan cara menghibahkan haknya secara sukarela kepada perempuan & membahagikan secara sama rata.
Hukum hibah seperti ini adalah sunat & harus dilaksanakan seperti itu. Wallahua'lam.

Sumber : Harakah

Bersama Dato' Dr Haron Din: Ada Ayat Al-Quran Tidak Boleh Diguna Pakai?

SOALAN:
Dato', betulkah ada di dalam al-Quran sekarang ayat-ayat yang tidak boleh diguna pakai. Dalam erti kata lain, ayat ada tetapi hukumnya tidak boleh diterima pakai. Betulkah begitu? Bolehkah Dato' perjelaskan kekeliruan saya? MAISARAH ABDULLAH, Menerusi emel

JAWAPAN:
Pertanyaan anda mungkin dimaksudkan dengan persoalan nasakh & mansukh. Persoalan nasakh & mansukh ini perlu difahami dengan baik.
Elok difahami dahulu makna nasakh. Nasakh ertinya buang, atau tukar ganti. Di dalam al-Quran ada nasakh yang khusus, seperti firman Allah (mafhum-Nya):
"Apa sahaja ayat keterangan yang Kami mansukhkan (batalkan), atau yang Kami tinggalkan (atau tangguhkan), kami datangkan ganti yang lebih baik daripadanya, atau yang sebanding dengannya. Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu?" (Surah al-Baqarah, ayat 106)
Ayat itu secara jelas, Allah nyatakan ada ayat al-Quran yang dibuang, atau dinasakhkan hukumnya. Di dalam al-Quran disebut, nasakh ayat dengan ayat.
Ertinya ada ayat al-Quran, di dalam al-Quran yang kita gunakan sekarang, hukum telah dibuang, dan diganti dengan hukum baru yang disebut dalam ayat yang baru.
contohnya, firman Allah (mafhum-Nya):
"Dan orang-orang yang (hampir) mati di antara kamu serta meninggalkan isteri, hendaklah berwasiat untuk isteri-isteri mereka, iaitu diberi nafkah sagu hati (makan, pakai & tempat tinggal) hingga setahun lamanya, dengan tidak disuruh pindah daripada tempat tinggalnya...(hingga akhir ayat)." (Surah al-Baqarah, ayat 240)
Ayat ini menurut sesetengah mufassirun, bermaksud isteri yang kematian suami, hendaklah terus tinggal di rumah suaminya itu selama satu tahun, dengan mendapat nafkah (belanja hidup), daripada harta peninggalan suami sepanjang setahun.
Kemudian Allah nasakh tempoh setahun itu, dengan ditukarkan dengan tempoh 4 bulan 10 hari, menerusi firman-Nya (mafhum-Nya):
"Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama 4 bulan 10 hari...(hingga akhir ayat)." (Surah al-Baqarah, ayat 234)
Ini disebut dalam istilahnya oleh fuqaha, ayat mula tadi (al-Baqarah, ayat 240) mansukh (terbatal atau tertukar). Manakala ayat kedua (al-baqarah, ayat 234) adalah naasikh.
Demikian juga dalam ayat yang mula tadi, tempoh nafkah selama setahun, dinaskhkan oleh ayat pusaka, yang memperuntukkan kepada isteri yang kematian suaminya, dia mendapat 1/8 dari harta suami atau 1/4, bergantung kepada keadaan waris-warisnya.
Firman Allah (mafhum-Nya):
"Dan bagi kamu 1/2 daripada harta yang ditinggalkan oleh isteri-isteri kamu jika mereka tidak mempunyai anak.Tetapi jika mereka mempunyai anak maka kamu beroleh 1/4 daripada harta yang mereka tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang mereka wasiatkan & sesudah dibayar hutangnya. Dan bagi mereka (isteri-isteri) pula 1/4 dari harta yang kamu tinggalkan, jika kamu tidak mempunyai anak. Tetapi kalau kamu mempunyai anak maka bahagian mereka (isteri-isteri kamu) ialah 1/8 dari harta yang kamu tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang kamu wasiatkan, dan sesudah dibayarkan hutang kamu ... (hingga akhir ayat)." (Surah an-Nisa, ayat 12)
Hal-hal sebegini memang wujud dlam al-Quran, ia dikenali sebagai naasikh mansukh. Perkara ini hanya diketahui oleh ilmuan Islam & tersangat panjang perbahasannya dalam kitab-kitab tafsir.
Dalam pada itu berlaku khilaf di kalangan ulama, di dalam menafsirkan ayat-ayat berkenaan. Ada ayat yang dikatakan sesetengah mufassirun sebagai mansukh, manakala sebahagian yang lainnya mengatakan tidak, dengan dalil masing-masing yang panjang lebar.
Yang penting, anda perlu memahami bahawa wujud naasikh mansukh itu dalam al-Quran. Mengapa berlaku demikian? Hikmah sebenar hanya Allah sahaja yang mengetahui. Tetapi Allah menyebut dalam ayat yang awal tadi, jika berlaku pemansuhan, Allah gantikan dengan yang lebih baik daripadanya, atau sama dengannya, dengan sedikit sebanyak perbezaan.
Ini menunjukkan bahawa Allah mengetahui keperluan manusia & Allah menunjukkan ada ketikanya, hukum Islam itu rigid (tidak berubah) & ada ketikanya hukum Islam itu fleksibel (lunak) & boleh berubah.
Atas itulah maka fuqahak secara khusus mengambil langkah berijtihad, berusaha mengeluarkan hukum-hukum baru yang diperlukan oleh ummah, bagi menyesuaikan Islam bagi perkara-perkara yang diharuskan, dengan perantaraan hukum-hukum ijtihad.
Hukum ijtihad, adalah hukum yang boleh berubah-ubah. Hukum al-Quran yang sabit, ada sekarang, adalah hukum qat'ie (tidak boleh berubah).
Hukum yang tidak boleh berubah tidak boleh berubah tidak banyak. Terutamanya hukum hudud. Hukum yang boleh berubah adalah hukum zanni atau hukum ijtihad, ia berubah mengikut keperluan masa & keadaan. Wallahu a'lam.

Sumber : Harakah

Bersama Dato' Dr Haron Din: Mengapa Ada 2Malaysia Dalam Isu Kalimah Allah

SOALAN:
Dato' saya tidak bertujuan meminta Dato' memberi pandangan mengenai hukum penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan The Herald The Catholic - Weekly kerana itu telah pun berlalu. Cuma saya hendak tanya pandangan Dato' sama ada isu ini akan selesai dengan baik, apabila mahkamah membuat keputusan akhir nanti, sama ada Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Persekutuan. Bagaimana Dato' melihat isu ini berakhir? MOHD ZAINUDDIN AHMAD, Kuantan

JAWAPAN:
Isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian di Malaysia pada umumnya boleh diatasi dengan baik, jika kerajaan kita mahu menyelesaikannya dengan baik, dengan niat yang baik, demi keharmonian beragama di Malaysia seperti sebelum isu ini timbul.
Akan tetapi, seperti seolah-olah boleh dibaca isu ini semacam ada terselit di dalamnya agenda tersirat, yang semakin hari semakin terbongkar.
Seolah-olah telah diprogramkan agar isu ini menjadi sedemikian rupa. Isu ini di mahkamah sekarang. Pihak Kementerian Dalam Negeri (kerajaan) telah berjaya mendapat 'interim order', agar perlaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan mereka menggunakan kalimah Allah, ditangguhkan sementara sehingga Mahkamah Rayuab bersidang nanti.
Apapun keputusan mahkamah nanti, yang pastinya ia akan berakhir dengan kemenangan, hanya di satu pihak dan tidak akan seri. Kalau menang plaintif, pihak defendan akan kecewa, demikian sebaliknya.
Yang pasti akan ada kekecewaan, tertekan dan terkilan. Jika ini berlaku dan pasti akan berlaku, maka bagaimana mungkin isu ini akan reda, bagaimana isu ini akan tamat buat selama-lamanya?
Isu ini amat sensitif kerana ia menyentuh amalan harian, menyentuh jiwa agama dan menyentuh hati penganut Islam yang cintakan Allah Yang (Maha) Sempurna, Yang Tunggal, Allah Yang Kudus dan Tanpa Anak.
Belumpun sampai ke penghujung isu ini hendak ditangani, sekarangpun sudah mula bercelaru dan amat keliru bila pihak kerajaan mengisytiharkan bagi Sabah dan Sarawak, isu ini kononnya tidak berbangkit, kerana mereka dibenarkan menggunakan kalimah Alla, atas alasan tidak ada undang-undang yang melarang mereka berbuat demikian di sana.
Ertinya di Semenanjung, semua negeri tidak boleh. Telah ada enakmen Majlis-Majlis Agama Islam negeri tidak membenarkan selain dari umat Islam menggunakan kalimah Allah.
Di Sabah dan Sarawak boleh. Umat Islam di sana telah bangun menentang, ini yang celaru dan haru biru.
Kerajaan berkata mahu menerapkan 1Malaysia, jika 1Malaysia semuanya di Malaysia sama sahaja. Ini sudah menjadi 2Malaysia. Sebahagian boleh, sebahagian tidak boleh. Tidak celarukah itu?
Dalam 1Malaysia, ada dua undang-undang yang bercanggah. Ini 'double standard'. Mengapa kerajaan tidak bertegas sejak lebih 2 tahun yang lalu, sudah ada muzakarah mufti-mufti Malaysia yang memutuskan bahawa penggunaan kalimah Allah, hanya untuk umat Islam sahaja.
Tidak lama selepas itu, seluruh jabatan-jabatan agama Islam negeri, menggubal undang-undang dan digazetkan. Mengapa tidak dikuatkuasakan lebih awal? Semua sudah siap, tunggu bertindak sahaja.
Sekarang ini seolah-olahnya pihak kerajaan sengaja untuk tidak bertindak, sebaliknya membiarkan isu ini dibawa ke mahkamah sivil.
Jikapun ke mahkamah, mengapa tidak ke Mahkamah Syariah? Tiap-tiap negeri ada bidang kuasa ada peruntukan membawa perkara sebegini ke Mahkamah Syariah.
Memandangkan kepada isu ini secara keseluruhannya, saya melihat, isu ini akan berlarutan kerana ada agenda tersembunyi.
Perkara yang menyentuh perihal paling asas dalam agama, iaitu isu Allah, bukan perkara kecil. Oleh kerana itu, tanganilah isu ini secara jujur, jangan sampai mengundang padah.
Walaupun mahkamah bukan tempat sebenarnya menyelesaikan perkara ini, kerana pada pendapat sesetengah pihak, mahkamah hanya melihat kepada aspek undang-undang dan tafsirannya mengikut selera pihak yang menafsirkannya, sedangkan isu ini menyentuh jauh ke dalam hati dan lubuk jiwa umat Islam.
Ia mesti diselesaikan secara Islam. Untuk menyelesaikannya secara Islam, harus dirujuk kepada firman Allah:
"Katakanlah (wahai Muhammad): "Hai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku" Surah al-Kafirun.
Cuba kita renung ayat ini secara keseluruhannya, secara khususnya ungkapan, "Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah."
Kita menyembah Allah. Allah tuhan kita. Mereka menyembah God. God tuhan mereka. Allah sebut dengan begitu jelas, mereka tidak akan menyembah tuhan yang kita sembah.
Bagi kita agama kita Islam. Bagi mereka agama mereka Kristian. Wallahua'lam.

Sumber : Harakah

Bersama Dato' Dr Haron Din: Lalang Disemai, Mustahil Menghasilkan Padi

SOALAN:
Apakah ada kesan atau tindak balas yang nyata daripada karektor insan yang mematuhi perintah Allah & melaksanakan syariat-Nya atau yang melanggarinya dalam kehidupan insan di dunia yang boleh dijadikan iktibar serta teladan. Mohon Dato' jelaskan - KHAIRUL AMIN, SERDANG

JAWAPAN:
Menjadi lumrah dalam penghidupan di dunia ini, semua insan memahami bahawa apa yang ditanam, maka hasil daripada tanaman itulah yang dituai.
Jika lalang yang disemai maka ia sesekali tidak akan menghasilkan padi buat selama-lamanya. Ertinya apa-apa jenis usaha yang dilakukannya, maka biasanya daripada jenis mana usaha itu dilakukan, maka daripada situlah juga hasilnya.
Demikianlah juga dengan amalan manusia, beramal dengan amalan-amalan kebaikan, maka akan didapati hasil daripada kebaikannya.
Jika amalannya buruk maka begitulah hasilnya.
Balasan adalah mengikut amalan. Inilah yang difirmankan Allah (mafhum-Nya):
"Maka sesiapa berbuat kebajikan sebesar zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat malannya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan sebesar zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalannya!)" (surah Az-Zalzalah, ayat 7-8)
Dari sudut kesannya dalam penghidupan di dunia, tentulah juga dapat dilihat seperti persoalan yang diajukan. Apa yang dilakukan, maka balasannya sedemikian juga.
"Tangan mana yang mencincang, maka di bahu pencincang itulah yang akan memikul"
Manusia semuanya dianugerah Allah kepadanya perasaan. Perasaan itu lahir kesannya. Sama ada senang, susah, tenang, gelisah, reda, gelora & berbagai-bagai lagi.
Semua orang mengkehendaki berlaku ke atasnya yang seronok sahaja, tidak mahu yang sengsara.
Semuanya itu bergantung kepada perasaan. Punca segala-galanya adalah adalah hati nurani insan.
Rasulullah SAW menyebut dalam sebuah hadis yang mafhumnya:
"Ingatlah bahawa di dalam jasad ada segumpal darah; jika baik ia, maka baiklah seluruh jasad & jika rosak ia, maka rosaklah seluruh jasad, itulah dia hati nurani (kalbu)"
Kalbu yang dimaksudkan di sini ada banyak maknanya, dari segi istilah kalbu yang diterjemahkan sebagai jantung atau 'heart'. Ia adalah organ fizikal. Jika itu maknanya pun, boleh juga disebut pada konsepnya, jantung fizikal ini, jika rosak ia, maka rosaklah penghidupan.
Jika sihat ia, maka sihatlah seluruh penghidupan. Namun begitu, maksud kalbu dalam hadis ini, boleh diertikan sebagai hati nurani. Iaitu perasaan yang menguasai manusia.
Maka jika perasaannya gembira, maka hati nuraninya gembira, & damai sentiasa. Jika tidak, maka berlakulah sebaliknya.
Oleh itu, menjaga mendidik hati agar sentiasa gembira, ceria serta reda & pasrah kepada Allah, adalah kunci kepada penghidupan yang bahagia.
Inilah yang disebut dalam Al-Quran, seperti firman-Nya (mafhum):
"(Iaitu) orang-orang yang beriman & tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah denga zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia" (Surah Ar-Ra'd, ayat 28)
Cuba renungkan maksud ayat di atas. Ada 2 kali Allah menyebutkan perkataan yang merujuk kepada 'tenang hati'. Kedua-duanya dikaitkan dengan zikrullah.
Itulah kesan nyata yang boleh dilakukan oleh orang-orang yang memahami makna ketenangan, kesenangan & kebahagiaan yang dikehendaki.
Contoh mudah yang boleh dilihat kesan daripada amalan manusia. Cuba lihat insan yang melakukan kesalahan & melanggar peraturan kehidupan, adakah jiwa mereka tenang menjalani kehidupan?
Tidakkah dia akan resah gelisah, bimbangkan tindakan pihak berkuasa yang pada bila-bila masa terhadapnya.
Misalnya, seorang pesalah undang-undang yang dahsyat, jika melihat anggota keselamatan berlegar di kawasan rumahnya atau berada pada jalan yang sama dengannya, tenangkah dirinya? Tenangkah dalam tidurnya? Tenangkah dalam kehidupannya?
Tentulah dia akan dihantui resah gelisah, ia adalah kesan negatif yang terpaksa ditanggung akibat kesalahannya.
Demikian pula yang melakukan dosa terhadap Maha Pencipta. Bagaimana dia akan tenang perasaannya, apabila berfikir hal kematian, perihal alam kubur, akhirnya ke syurga
atau ke neraka.
Maka apabila dia melihat orang sakit, terfikir suatu hari dia akan sakit. Apabila dia melihat jenazah dimasukkan ke liang lahad, sudah pasti dia akan terfikir bahawa suatu hari nanti dia juga akan mati & dikuburkan.
Apakah kehidupan ini berakhir dengan kematian? Tidakkah dia terfikir bahawa majoriti manusia dalam alam dunia hari ini amat mempercayai tentang adanya hari pembalasan.
Semua hal-hal ini memberi kesan kepada penghidupan insan. Pastilah dia akan merasai natijah daripada perbuatannya itu, sama ada dia akan ke syurga atau ke neraka.
Untuk itu, kesan daripada amalan penghidupan ini memberi jawapan segera kepada manusia, bahawa yang mematuhi perintah-Nya akan beroleh kebahagiaan, sebaliknya mereka yang mengingkari perintah Allah akan mendapat kesusahan.
Ambillah iktibar daripada kisah-kisah umat yang silam. Ambillah iktibar apabila insan melakukan keingkaran secara terang-terangan & meninggalkan suruhan Allah secara berleluasa, apabila insan meminggirkan Islam, undang-undang ciptaan manusia disanjung, maka bala bencana ditimpakan ke atas mereka.
Musibah berlaku berulan kali. Penyakit atau wabak membawa maut seperti Influenza A, adalah antara siri hukuman Allah ke atas kesalahan manusia.
Semoga kita mendapat hidayah-Nya. Wallahu'alam.

Sumber: Harakah

Bersama Dato' Dr Haron Din: Keliru Permasalahan Qadak & Qadar

SOALAN:

Dato', selalu sangat saya dengar perihal Qadak & Qadar, yang bermaksud segala-galanya ada ketentuan Allah SWT. Seseorang itu sama ada akan bahagia atau celaka di dunia atau akhirat semuanya sudah ada ketentuannya. Seolah-olah manusia ini macam robot yang sudah diprogramkan sejak dari azali lagi; sama ada masuk syurga atau neraka. Jika itulah keadaannya, maka manusia ini tidak mempunyai apa-apa pilihan kepadanya, semuanya ketentuan Allah. Oleh itu mengapa kita hendak bersusah payah melakukan perkara yang semuanya sudah ditentukan. Saya jadi keliru, bolehkah Dato, tolong selesaikan kekeliruan saya ini - WAHAB MUHAMMAD AMIN, KUCHING, SARAWAK

JAWAPAN:
Qadak & Qadar adalah salah satu rukun iman yang wajib dipercayai & diimani sepenuhnya. Jangan sesekali anda ragu, jauh sekali anda tidak puas hati atau terbayang, terlintas wujud ketidakadilan Allah kerana terlalu memilih & menentukan sejak daripada azali ketentuan hamba-hamba-Nya.
Qadak & Qadar itu adalah kerja Allah. Kita makhluk Allah yang lemah & hina di hadapan Allah SWT. Bagaimana hendak kita mencampuri & mempersoalkan kerja Allah.
Yang perlu diketahui bahawa Allah itu antara sifat-Nya adalah Maha Pengasih & Maha Penyayang. Allah Maha Adil & tidak sesekali melakukan yang tidak adil atau sengaja hendak menzalimi makhluk-Nya.
Allah berfirman (mafhum-Nya):
"Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiayai (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu). Dan kalaulah (amal yang seberat zarah) itu amal kebajikan, nescaya akan menggandakannya & akan memberi, dari sisi-Nya, pahala yang amat besar" (Surah An-Nisa, ayat 40)
Allah berfirman (mafhum-Nya):
"Sesungguhnya Allah tidak menganiayai manusia sedikitpun, akan tetapi manusia jualah yang menganiayai diri mereka sendiri" (Surah Yusuf, ayat 44)
Oleh kerana itu, berdasarkan ayat di atas, tidak timbul persoalan yang anda ajukan bahawa ketentuan Allah merupakan sesuatu yang tidak adil.
Allah sentiasa adil. Daripada sinilah datangnya ayat sebagaimana firman Allah (mafhum-Nya):
"Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya" (Surah an-Najmi, ayat 39)
Allah berfirman (mafhum-Nya):
"Sesungguhnya hari kiamat itu tetap akan datang - yang Aku sengaja sembunyikan masa datangnya, supaya tiap-tiap diri dibalas akan apa yang ia usahakan" (Surah Thaha, ayat 15)
Buat baik dibalas baik & digandakan pahalanya, berbuat jahat akan dibalas jahat, tanpa mengandakannya. Maka apakah ini tidak adil? Sudah tentu ia sangat adil.
Memudahkan anda untuk memahami Qadak Qadar dalam kehidupan insan, memang ada hal-hal yang di luar kawalan kita. Kita seharusnya menerimanya.
Perkara itu adalah kerja Allah. Allah tidak mungkin melakukan sesuatu yang di luar keadilan-Nya & kasih sayang-Nya. Allah menyempurnakan semuanya itu dengan iradah-Nya.
Contohnya kelahiran kita, pilihan siapa? Hendak menjadi lelaki atau perempuan bukan kehendak kita. Berkulit cerah atau gelap. Berupa paraas cantik lagi menarik atau hodoh cacat. Ini semua bukan kerja kita, terima sahaja apa yang ditentukan Allah SWT dalam qadak qadar-Nya.
Ketika kita berada di alam dunia, sihat sakit kita pada umumnya bukan pilihan kita. Jodoh pertemuan, kita hanya merancang, hendak jadi atau tidak, kekal atau tidak, Allah menentukan segal-galanya.
Akhirnya kita mati, bukan pilihan kita. Tempat kita hendak matipun, bukan pilihan kita. Ertinya ada hal-hal yang ditentukan Allah. Itu adalah kehendak-Nya, bukan pilihan kita.
Adapun yang banyak lagi Allah biarkan dengan pilihan kita. Seperti hendak jadi orang yang beriman atau kufur kepada Allah, itu pilihan kita. Allah tidak memaksa kerana tidak ada paksaan dalam agama.
Hendak patuh kepada Allah atau hendak melanggar perintah-Nya, itu kehendak kita, kita boleh pilih.
Allah berfirman (mafhum-Nya):
"Kerana keadaan itu tidak mencukupi, (maka) sesungguhnya Kami telah menunjukkan kepadanya (melalui akal & Rasul) akan jalan-jalan (yang benar & yang salah; maka terserahlah kepadanya) sama ada ia bersyukur (dengan beriman & taat), ataupun ia berlaku kufur (dengan mengingkari kebenaran atau menderhaka)" (Surah Al-Insan, ayat 3)
Malah tatkala anda bertanya saya soalan ini, adakah orang memaksa anda berbuat demikian atau itu pilihan anda sendiri?
Sama ada hendak bertanya soalan atau mendiamkan diri, itu adalah pilihan anda. Hendak makan atau minum, menonton tetvisyen, melihat rancangan program televisyen, melayari internet, semuanya adalah pilihan anda sendiri.
Pilihan inilah yang dikatakan bahawa, manusia ini mempunyai daya untuk memilih cara hidupnya, memilih agamanya, merancang untuk bahagia di dunia & bahagia di akhirat.
Melakukan perkara yang akan boleh menerimanya, dengan disokong oleh wahyu Allah SWT, bagi memimpin manusia ke arah kebahagiaan dunia & akhirat.
Inilah yang dimaksudkan dalam qadak & qadar. Wallahu'alam.

Makhluk Halus Menurut Al-Quran dan As-Sunnah

Muzakarah Pakar: Bentuk Sihir Pengasih dan Metodologi Diagnosis

Dalam Muzakarah Pakar: Bentuk Sihir Pengasih & Metodologi Diagnosis anjuran Jabatan Mufti Selangor, Dato' Dr Haron Din berkata, peruntukan perundangan bagi membenteras penggunaan sihir, terutama dalam kalangan Muslimin perlu diberi perhatian.

Katanya, ilmu sihir digunakan secara meluas untuk aktiviti jenayah, termasuk pukau, rompak & samun di beberapa kedai emas seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Berhubung kesukaran mendapatkan bukti dalam kes amalan sihir ini, beliau berkata, bukti itu boleh dilihat melalui pengamalnya yang memilki bilik khas & mengguna peralatan khusus untuk pemujaan seperti tengkorak haiwan & senjata lama.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Sihir: Kesannya Kepada Aqidah & Bagaimana Mengatasinya.

Beliau seterusnya berkata, individu yang mengamalkan sihir dianggap murtad kerana amalan itu diharamkan Islam & pelakunya boleh dihukum bunuh, seperti yang diriwayatkan dalam beberapa hadis.

Sumber: Harakah oleh Ali Bukhari Amir

Kenangan Makan Sup Itik Nila Di Mesir


Ustaz Dato' Dr haron Din sudah tidak asing lagi. Ketokohan beliau begitu dikagumi masyarakat Islam di negara ini Walaupun beliau dianugerah gelaran Dato', walaupun mempunyai ijazah PhD dalam jurusan syariah, beliau lebih gemar dipanggil Ustaz.

Jasa beliau selama 23 tahun di UKM begitu dikagumi, selain terkenal sebagai pengasas perubatan Islam Darul Syifa'. Ikuti sembang santai Timbalan Mursyidul Am PAS ini bersama Mohd Rashidi Hassan di rumah beliau di Bangi, baru-baru ini.

Sedikit latarbelakang keluarga Ustaz?

Saya lahir pada tahun 1940, ada 10 adik beradik. Al-marhum ayah saya Haji Din bin Awang berasal dari Patani, merantau ke Perlis. Ayah saya tergolong dari kalangan orang yang kuat agama. Semua adik beradik kami dihantar mengaji ke sekolah Arab, sekarang dikenali sebagai SAR.

Kenapa semua mengaji agama?

Ayah saya yakin pendidikan SAR menjamin masa depan. Pada ketika itu ramai anak-anak jiran dihantar ke sekolah Inggeris. Orang kata senang dapat kerja. Namun keyakinan ayah saya tidak mengecewakan, alhamdulillah semua anak-anak beliau berjaya seperti sekarang.

Sebab apa SAR begitu penting bagi ustaz?

SAR menyediakan asas warisan kesinambungan golongan ulama. Dalam sistem pendidikan sekarang, aliran sastera atau sains tidak mampu melahirkan ulama tulen. Saya amat percaya ulama harus lahir daripada sistem pendidikan Islam yang tulen seperti Universiti al-Azhar sebagainya. Ulama sebenar tidak sepatutnya lahir daripada sistem pendidikan Barat sama ada dari Amerika Syarikat atau United Kingdom.

Mungkin mudah jika ulama itu pandai berbahasa Inggeris?

Ya, bahasa boleh dipelajari. Tetapi mana mungkin ilmu itu akan berkat dan diredai Allah jika ianya diajar oleh orientalis atau profesor yang tidak beriman, mengkufuri Islam sendiri. Saya tidak boleh terima ilmu Islam diajarkan oleh orang kafir.

Latar belakang pengajian ustaz?

Saya belajar di Kolej Islam Kelang. Ijazah pertama saya (Sarjana Muda) di bidang syariah. Kemudian menyambung Master dalam bidang syariah di Universiti al-Azhar, Mesir. Dalam masa yang sama saya membuat Diploma Pendidikan Islam di Universiti Ain Syams. Tahun 1966 balik ke Malaysia. Selepas itu dihantar menyambung phD dalam bidang syariah di Universiti Kaherah, Mesir. Saya mendapat kepujian kelas pertama.

Sedikit pengalaman belajar di Mesir?

Saya memilih duduk di kampung. Ramai pelajar Melayu suka tinggal di asrama. Saya tengok susah, terikut budaya Melayu, cakap Melayu, lepak cara Melayu (ketawa), mana nak fasih bahasa Arab. Bila kita duduk di kampung kita dapat pendedahan. Saya cari kawan-kawan Arab, ikut mereka ke rumah, bergaul, berbincang dan bertanya dengan mereka apa sahaja yang saya tidak faham.

Kenangan yang tak dapat dilupakan di Mesir?

Ada. Suatu ketika saya bawa Kak Jah (isteri) ke Mesir, kami pergi ziarah sahabat lama saya Lutfi Ali Umar di Tanta, satu kawasan pedalaman, memang kampung betul. Dia nak jamu kami. Lalu dia tangkap itik nila, dia buat sup. Kemudian dia bakar roti dari bahan bakar tahi lembu yang kering. Bayangkan lah, sup itik nila yang tidak dilayur sempurna, masih ada bulu-bulu, tak ada rempah bila sup masak, bulu-bulu itu bertakung, makan dengan roti bau tahi lembu, Kak Jah makan sampai muntah (ketawa). Bayangkan lah kami terpaksa hidup tiga hari dengan mereka dalam keadaan macam itu.

Mula bertugas di UKM?

Tahun 1972 sehingga pencen 1995. 23 tahun. 1978 dilantik ke jawatan Profesor Madya dan 1980 saya diberikan jawatan Profesor oleh UKM. Malah pada tahun 1976 lagi saya dah pegang jawatan Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Islam.

Banyak buku dan kertas kerja ilmiah dihasilkan?

Kertas kerja susah nak kira, sebab di universiti memang banyak bentang kertas kerja. Semasa saya ditimbang ke jawatan profesor, saya sudah mengarang lebih 30 judul buku, kebanyakannya dalam bidang syariah, termasuk 6 buah buku perubatan Islam.

Buku pilihan yang ustaz hasilkan?

Buku berjudul Manusia dan Islam. Suatu ketika ia digunapakai sebagai buku rujukan PDRM (zaman Hanif Omar) dan Telekom, SEDC Johor dan beberapa buah agensi kerajaan.

Ustaz masih pergi memburu?

Tidak lagi. Memburu memerlukan fizikal yang kuat. Saya dah lama tak memburu. Lagi pun sekarang ni susah dapat lesen. Binatang pun dah tak banyak. Tetapi saya suka berkhemah di hutan.

Buat apa di hutan?

Berehat, berfikir dan tidak terikat dengan etika masyarakat. Terputus hubungan dengan dunia. Hand phone pun tak ada line. Selalunya kami pergi 20 orang, empat atau lima hari. Berkhemah di dalam hutan, tepi sungai atau tepi air terjun. Selain daripada beribadah, saya akan beri kuliah subuh dan maghrib. Kami memancing, cari kulat (cendawan), jering, petai dan sebagainya.

Tak diganggu ke dalam hutan?

Biasalah, itu yang seronoknya (ketawa). Ada juga gangguan gajah dan bunyi harimau mengaum.

Ustaz suka memancing?

Saya suka memancing di laut. Satu pernah ada 3 buah bot. 2 bot lesen A (untuk nelayan pantai) satu bot lesen c2 (nelayan laut dalam). Biasa kalau saya pergi sampai dua minggu, tetapi sekarang dah tak sempat. Bagusnya ikut bot laut dalam ni, saya dapat merasai jerih perit kehidupan nelayan. Terpaksa tinggal keluarga selama dua minggu, hidup dilambung ombak badai, bahaya sekeliling pinggang, semata-mata hendak mencari sesuap nasi, tetapi hasil tangkapan tidak menentu.

Masih memancing lagi?

Ya, tapi ingat dah nak pencen dah. Sebab suatu ketika saya memancing ikan di laut, ikan tak besar mana, dalam 7 kg. Tapi tahu lah, nak kena ada kederat yang kuat lawan ikan ni, ikan tu tarik kuat, saya force juga, tetapi jantung saya terhenti. Saya kena attack ketika itu, fizikal saya sudah tidak mengizinkan. Jadi, dalam perjalanan balik, saya pun berfikir this is the end, saya dah kena bersara dari alam memancing.

Sudah berhenti memancing?

Tidak juga (ketawa). Sebab dalam beberapa minggu selepas itu, ada seorang sahabat saya bertanya, "Ustaz tahu tak sekarang ini, boleh memancing guna satu alat yang ada bateri?". Saya kata saya tak tahu. Akhirnya apabila dapat mesin, saya pun pergi memancing ke laut. Saya tak payah lawan ikan, mesin yang lawan (ketawa). Baru-baru ini dapat ikan seberat 12kg. Kekuatan mesin itu boleh tarik ikan seberat 25kg. Jadi niat saya berhenti memancing ditarik balik (ketawa).

Ustaz terlibat dalam bisnes?

Ada. Saya pernah mengusahakan empat reban ayam. Reban di Ulu Yam, Dengkil dan Banting. Suatu ketika saya menternak sampai 200 ribu ekor ayam. Saya pernah ada 40 orang pekerja menternak ayam dan 20 orang pekerja bot laut dalam. Sekarang ini semuanya dah tak sempat nak urus.

Lain-lain aktiviti?

Saya sekarang ini terbabit dalam penternakan lembu dan kambing. Lembu banyak ekor juga (ketawa). Kambing baru nak mula, saya usahakan di ladang kelapa sawit saya.

Oh ada ladang juga?

Ya, ladang sawit di Teluk Intan, alhamdulillah sudah matang dan keluarkan hasil. Saya juga ada tanam 150 ribu pokok jati (thick wood) untuk buat perabut. Saya tanam pokok sentang, pokok gaharu (untuk buat minyak wangi). Sawah padi pun ada (ketawa) di Perlis. Saya juga tanam 300 batang pokok dokong di Kodiang, Kedah.

Sempat ke buat semua itu?

Insya Allah sempat. Saya usahakan dah lama. Saya beritahu ini bukan nak menunjuk. Tetapi bukan kerja seorang ulama itu mengajar dan berdakwah sahaja, persepsi masyarakat kena betul sebab belajar agama bukan halangan untuk berniaga, maju dan berjaya dalam kehidupan, Rasulullah s.a.w buat semua kerja ini, kita mengikut contoh baginda.

Sumber : Harakah (keluaran 1-15 April 2006) / http://www.darussyifa.org/itiknila.php

Kertas Kerja Memperkukuhkan Kepimpinan Ulama

Kertas kerja ini disampaikan sempena sambutan Jubli Perak Kepimpinan Ulamak pada 28hb Jamadilawal 1430 / 23hb Mei 2009 di Dewan Dato' Fadzil Noor, Markaz Tarbiyyah PAS, Taman Melewar, Kuala Lumpur.

Cara Membuang Sifat Was-Was