Oleh : Intan Abdullah
KUALA LUMPUR: Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din menyeru agar umat Islam komited dengan hukum Allah & sentiasa meletakkan hukum-hukum itu sesuai untuk manusia & mampu mencegah jenayah.
"Semua hukuman Allah ke atas manusia adalah untuk kebaikan mereka di dunia, lebih-lebih lagi di akhirat," katanya kepada Harakah ketika diminta mengulas mengenai pendedahan Menteri Keselamatan Dalam Negeri (DDN), Dato' Seri Hishamuddin Hussein mengenai 3 wanita yang melakukan kesalahan jenayah syariah menjalani hukuman sebat, 9hb Februari lalu di Penjara Wanita Kajang.
Hishamuddin dilaporkan berkata, 3 pesalah wanita itu bersama 4 lagi pesalah lelaki dihukum sebat mengikut Seksyen 23(2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 (Persetubuhan Haram) yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur antara Disember 2009 hingga Januari tahun ini.
Menurutnya, wakil dari KDN turut hadir semasa pelaksanaan hukuman dibuat 13 orang lagi antaranya Pengarah Jabatan Agama Wilayah, Pegawai Jabatan Agama Wilayah & wakil dari Bahagian Syariah Jabatan Peguam Negara serta wakil dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Mengulas lanjut, Ustaz Dr Haron menjelaskan hukum hudud yang turut merangkumi sebatan diwajibkan Allah untuk dilaksanakan ke atas pesalah yang sabit kesalahannya adalah untuk kebaikan dirinya & ia mengandungi hikmah kepada semua pihak termasuklah kepada masyarakat sekeliling sebagai suatu proses pentarbiyahan atau pendidikan total.
Beliau berkata, ganjaran yang paling penting adalah Allah akan memelihara seseorang itu daripada terus melakukan keburukan sebagai kesan daripada hukuman tersebut.
"Yang penting & wajib difahami oleh seluruh umat Islam bahawa Allah menjanji akan memesongkan hati orang-orang yang melakukan kejahatan kepada membencinya & tidak mahu lagi melakukannya kerana Allah menjanjikan pencegahan itu."
"Seperti yang dinyatakan Allah di dalam Surah An-Nur yang bermaksud: Yang sabit melakukan jenayah mencuri lelaki atau perempuan maka jatuhlah hukuman Hudud ke atas mereka dengan memotong tangan mereka sebagai balasan yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukan & allah berjanji akan melakukan pencegahan jenayah itu sebagai jaminan daripada Allah," jelasknya lagi.
Ini bererti ujar Ustaz Dr Haron, hudud yakni termasuk sebatan yang diperkatakan dalam penjara yang dilaksanakan jika dilaksanakan seperti mana mengikut perintah Allah, maka Allah akan menolong manusia mengubah hati-hati manusia daripada suka melakukan jenayah kepada membencinya.
"Kerja-kerja itu tidak mampu dilakukan oleh manusia kerana yang mampu hanyalah Allah sahaja. Inilah yang tidak dapat difahami oleh ramai manusia kerana mereka hanya melihat dari segi negatifnya dengan sengaja mencari alasan menafikan hukum Allah dengan menuduh hukuman sebat seperti yang dilaksanakan di penjara tidak mampu memberi pengajaran kepada manusia.
"Kenapa apabila hukuman yang dikaitkan dengan hukuman Islam seperti sebat yang diperkatakan diberi komentar yang negatif sedangkan hukuman-hukuman lain yang dilaksanakan di penjara atas nama hukuman sivil tidak dikomentar negatif seperti yang berlaku sekarang?" soal beliau.
Sumber : Harakah