Bersama Dato' Dr Haron Din: Usah Ada 'Nujum Pak Belalang' Dalam Perkahwinan

SOALAN :
Dato', saya merancang mendirikan rumah tangga tidak lama lagi. Ibu bapa saya merestui, tetapi salah seorang bapa saudara saya yang kebetulan mempunyai ilmu agama agak tinggi, memberitahu kami semua bahawa perkiraan nama saya dengan bakal suami saya yang di'bin'kan kepada ibu masing-masing, katanya, hasilnya amat tidak sesuai. Jika dikahwinkan juga, pasti akan bergaduh. Kami sekeluarga agak bingung, benarkah ada ilmu agama yang dikira dari nama bakal pengantin, dengan ibu mereka, boleh dikira sebagai penentu masa hadapan, baik atau buruk. Tolong Dato' perjelaskan - LATIFAH AHMAD, Alor Setar

JAWAPAN:
Hal sebegini banyak berlaku dalam masyarakat kita. Amalan sebegini ada yang menamakannya Kasyaf. Ada yang kata tenung makrifat. ada yang kata nujum & berbagai-bagai lagi.

Hakikatnya, yang sebahagian besarnya berlaku adalah 'auta'; temberang kosong atau omong kosong.

Kerana apa yang disebut sebagai merenung nasib atau tengok nasib hingga dapat memberitahu perihal masa hadapan seseorang, hendak jadi baik atau buruk, hendak kekal bahagia hingga ke akhir hayat atau bergaduh di pertengahan jalan.

Itu semua adalah perkara-perkara ghaib. Tiada manusia mengetahuinya melainkan Allah SWT sahaja Yang Maha Mengetahui.

Perihal perkahwinan, patut kita pandu dengan ajaran Islam, bukan dengan kata-kata seperti persoalan anda di atas, ataupun kata mana-mana orang yang berpandu dengan tilik-meniliknya.

Rasulullah SAW bersabda, hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hatim al-Muzani yang mafhumnya:
"Apabila datang kepadamu (wali), pinangan ke atas orang di bawah jagaanmu daripada calon suami yang kamu berpuas hati Iredha) agamanya & akhlaknya, maka hendaklah kamu mengahwinkannya. Sekiranya kamu tidak melakukannya, nescaya akan mengundang fitnah (suatu yang buruk) & mengundang kerosakan yang banyak (lebar) di bumi Allah" (riwayat at-Tarmizi).

Hadis di atas jelas memberitahu kita bahawa perkahwinan tidak dirujuk kepada firasat, tenung makrifat atau 'Nujum Pak Belalang'.

Yang menjadi fokus utama ialah komitmen keagamaan & akhlak yang terpuji. Jika kedua-dua ini jelas nyata, maka kahwinlah.

Rasulullah SAW tidak pernah sekalipun dalam hidupnya, tatkala hendak mengahwinkan puteri-puteri bagainda atau mengahwinkan anak-anak para sahabat, tidak sesekali dengan mengira nama bakal pengantin yang dicampurkan dengan 'bin' ibu mereka.

Dalam masyarakat Islam yang dipimpin oleh Rasulullah SAW dahulu, ada suatu peristiwa perancangan perkahwinan yang Nabi SAW sendiri tidak merestuinya, bukan kerana firasat atau tenung nasib, tetapi kerana fakta fizikal yang jelas.

Senario ketika itu berlaku di mana seorang perempuan bernama Fatimah binti Qais meminta nasihat Baginda SAW tentang 2 orang calon suaminya; mana satu Baginda SAW hendak pilihkan sebagai suaminya. Seorang bernama Abu Jahm & seorang lagi bernama Mu'awiyah.

Mendengar nama 2 sahabat itu, Rasulullah SAW tidak mengira atau menghitung nama mereka atau nama ibu mereka. Malah Baginda SAW tidak membuat sebarang perhitungan kerana Baginda SAW mengenali mereka berdua.

Nabi SAW menasihatkan Fatimah binti Qais, "Usah berkahwin dengan Abu Jahm, kerana beliau selalu sangat mengembara dengan meninggalkan rumahnya. Dan, jangan pula berkahwin dengan Mu'awiyah kerana dia tidak mempunyai harta, tetapi berkahwinlah dengan Usamah bin Zaid, kerana dia lebih baik daripada kedua-duanya."

Akhirnya Fatimah berkahwin dengan Usamah & bahagialah mereka sepanjang hayat.

Apa yang bapa saudara anda lakukan itu, saya tidak mengetahui apa asas perbuatannya. Tetapi natijah daripada perhitungannya itu, dia seolah-olah mengetahui masa hadapan anda.

Amalan seperti itu menyamai amalan merenung nasib & mendakwa dia mengetahui sesuatu yang ghaib, hal sedemikian tidak benar & tidak mungkin benar.

Firman Allah (mafhum-Nya):"Tuhan sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Ia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahui-Nya itu kepada sesiapa pun [26]. Melainkan kepada mana-mana Rasul yang diredhai-Nya (u ntuk mengetahui sebahagian daripada perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya; apabila Tuhan hendak melakukan yang demikian) maka Ia mengadakan di hadapan & di belakang Rasul itu malaikat-malaikat yang menjaga & mengawasnya (sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang berkenaan) [27]." (Surah al-Jinn, ayat 26-27).

Daripada Imran bin Husain RA katanya, Nabi SAW pernah bersabda (mafhumnya):
"Bukan daripada golonganku (bukan umatku) sesiapa yang membuat ramalan perkara ghaib, atau orang yang meminta nasibnya diramalkan." (riwayat al-Bazzaj dengan sanadnya yang kuat - jayyid).

Banayk lagi hadis yang seperti ini. Iaitu Rasulullah SAW amat melarang umatnya merenung nasib atau memberitahu orang mengenai perkara ghaib.

Itu semua adalah kerja Allah SWT, kita hanya berpandu kepada fakta-fakta zahir, sama ada sesuai atau tidak sesuatu perkahwinan berdasarkan kepada fakta yang ada di hadapan kita.

Fakta sebenarnya ialah komitmen keagamaan & kemulian akhlak sebagaiman hadis Baginda SAW (mafhumnya):
"Pilihlah orang yang kuat komitmen keagamaannya, kamu pasti akan mendapat keberuntungan."

Wallahu a'lam bissawwab.

Sumber : Harakah