Dato', ayah kami sudah uzur, dia selalu menyebut-nyebut bahawa harta peninggalannya yang agak banyak, selepas kematiannya dibahagi sama rata. Kerana katanya Allah, kurnia anak-anaknya dengan adil, 3 lelaki 3 perempuan. Katanya, dia tidak mahu menzalimi anak-anaknya dengan membahagikan harta yang tidak adil & sama rata. Dia tidak mahu membeza-bezakan. Sekarang dia telah kembali ke rahmatullah. Apakah itu wasiat yang kami harus tunaikan? Mohon Dato' perjelaskan - ABDUL MUNIR, menerusi emel.
JAWAPAN:
Apa yang ayah anda sebut-sebut itu, adalah perasaannya, kasih sayangnya kepada anak-anak. Keinginan dirinya yang berdasarkan kepada suara emosinya. Bukan diasaskan kepada hukum Allah.
Hukum Allah adalah selama-lamanya adil. Jangan sekali-kali dikatakan tidak adil, semata-mata kerana Allah tidak menyamaratakan pembahagian harta pusaka.
Allah menetapkan hukum kepada anak lelaki mendapat habuan lebih sekali ganda berbanding anak perempuan.
Allah amat Mengetahui keperluan hamba-Nya. Allah maha Mengetahui tugas & kewajipan setiap individu dalam kehidupan sosialnya.
Allah menetapkan pembahagian pusaka dengan adil.Adil bukan bermakna mesti sama rata pembahagiannya.Adil dengan makna, Allah meletakkan sesuatu hukum itu, sesuai & kena pada tempatnya.
Di dalam pembahagian harta pusaka, hukum yang Allah turunkan amat jelas. Seperti yang difirman-Nya (mafhum-Nya):
"Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh si mati dan jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah satu perdua (separuh) harta itu dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: Satu perenam dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai anak. Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedang yang mewarisinya hanyalah kedua ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah satu pertiga. Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah satu perenam. (Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati dan sesudah dibayarkan hutangnya. Ibu-bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antaranya yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu. (Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah) ketetapan dari Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana." (Surah an-Nisa', ayat 11)
Dalam ayat tersebut Allah menggunakan perkataan 'Yuseekum' bermakna Allah mewasiatkan. Jika wasiat Allah itu berlawanan dengan wasiat ayah anda, manakah satu wasiat yang mesti diutamakan? Tentulah wasiat Allah.Namun timbul satu masalah, bolehkah seseorang itu mewasiatkan hartanya kepada warisnya. Anak-anak adalah waris. Wasiat harta kepada waris adalah terbatal. Dalam istilah undang-undang disebut 'null & void'.
Bersandarkan kepada hadis Amruu bin Kharijah, katanya:
"Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud): Sesungguhnya Allah SWT telah memberi hak kepada setiap seseorang yang berhak ke atasnya sesuatu hak. Maka tidak ada wasiat ke atas warisnya."
Oleh itu menjawab persoalan anda, adalah tidak sah wasiat itu ditunaikan kerana masing-masing anak ada haknya yang jelas sebagaimana yang ditetapkan dalam al-Quran seperti firman Allah (mafhum-Nya):
"Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, samada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu; iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah)." (Surah an-Nisa', ayat 7)
Namun demikian, sekiranya anda sekeluarga, ingin memberikan harta peninggalan ayah secara sama rata, maka anda boleh melakukannya tetapi bukan kerana wasiat.Ia harus dibuat secara sukarela, iaitu dengan menggugurkan hak yang ada kepada lelaki yang mendapat sekali ganda dari hak perempuan, dengan cara menghibahkan haknya secara sukarela kepada perempuan & membahagikan secara sama rata.
Hukum hibah seperti ini adalah sunat & harus dilaksanakan seperti itu. Wallahua'lam.
Sumber : Harakah