Oleh: Intan Abdullah
KUALA LUMPUR: Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din mengesyorkan agar para artis mengadakan pertemuan dengan golongan ulama bagi mendapatkan ilmu agama khususnya dalam memperbaiki masalah akhlak & kefahaman agama.
Muthakhir ini terdapat banyak masalah yang melaknda para artis sehingga timbul isu artis tidak layak untuk dijadikan idola kepada masyarakat khususnya golongan remaja sehingga ada yang berpendapat salah satu faktor yang menyumbang ke arah berlakunya masalah tersebut adalah disebabkan tiada teguran daripada golongan alim ulama kepada mereka.
"Walau apa pun, saya menyanjung sikap para artis yang mula menunjukkan minat ke arah mendapat teguran daripada para ulama & saya mengesyorkan biar para artis sendiri menganjurkan siri pertemuan yang mereka boleh pilih ulama untuk untuk dijemput ke tempat mereka," katanya kepada Harakah ketika dihubungi dari Makkah.
Hal tersebut ujarnya, adalah bertujuan untuk memberi kelesesaan kepada para artis sesuai dengan tahap penerimaan masing-masing terhadap seseorang ulama tersebut.
"Kalau itulah yang selesa kepada mereka daripada mereka pergi ke tempat ulama-ulama mengajar di tempat pengajian atau rumah mereka," ujarnya.
Ustaz Haron yang juga pengasas Darussyifa' turut menyatakan bahawa apabila seseorang itu terlibat atau sabit melakukan apa-apa kesalahan, orang itu akan menyalahkan orang lain sebagai salah satu daripada cara mempertahankan diri.
Tambahnya, terdapat dakwaan yang menyatakan para artis tua tidak mendapat teguran daripada ulama apabila mereka dikaitkan dengan sesuatu isu.
"Apa yang berlaku baru-baru ini apabila golongan artis tertentu bahawa mereka kurang mendapat teguran daripada golongan ulama adalah semata-mata untuk meletakkan kesalahan itu kepada golongan ulama sedangkan yang dipanggil ulama adalah golongan yang diiktiraf keilmuan mereka," tegasnya lagi.
Menurutnya, ulama yang dimaksudkan itu adalah golongan yang profesion mereka menyeru kepada Allah dalam berbagai-bagai bentuk bukan sahaja bertemu untuk berdakwah akan tetapi ia turut merangkumi kenyataan media yang dikeluarkan, ceramah & kuliah malah penulisan mereka.
Oleh yang demikian Ustaz Haron turut mencadangkan pihak artis agar mendapatkan hasil dakwah para ulama ini melalui penerbitan yang dihasilkan daripada mana-mana tempat.
"Adalah para artis pernah memiliki bahan tersebut? Kalau semua sudah tersedia tetapi mereka tidak berusaha untuk memilikinya & tidak pula pernah pergi mendengar ceramah-ceramah mereka & tidak pula pernah pergi menemui mereka untuk mendapatkan nasihat mereka, maka wajarkah ulama hendak dipersalahkan?
"Meskipun saya mengakui tidak banyak berlaku pertemuan antara saya dengan artis, tetapi bukanlah bererti tugas dakwah kita tidak boleh sampai kepada mereka kerana kebanyakan daripada kerja-kerja dakwah sudah terkumpul dalam bentuk VCD," tegasnya.
Beliau tertanya-tanya sama ada golongan artis pernah berusaha untuk mendapatkannya.
"Apakah golongan yang dikatakan tidak sampai dakwah kepada mereka itu berusahakah atau tidak bagi mendapatkan nasihat itu?
"Sepatutnya sama-samalah berusaha - golongan ulama menyampikan pengajaran & golongan artis pula menunjukkan sikap positif menghadiri majlis-majlis ilmu," jelasnya lagi.
Sumber: Harakah