SOALAN:
Dato' saya tidak bertujuan meminta Dato' memberi pandangan mengenai hukum penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan The Herald The Catholic - Weekly kerana itu telah pun berlalu. Cuma saya hendak tanya pandangan Dato' sama ada isu ini akan selesai dengan baik, apabila mahkamah membuat keputusan akhir nanti, sama ada Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Persekutuan. Bagaimana Dato' melihat isu ini berakhir? MOHD ZAINUDDIN AHMAD, Kuantan
JAWAPAN:
Isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian di Malaysia pada umumnya boleh diatasi dengan baik, jika kerajaan kita mahu menyelesaikannya dengan baik, dengan niat yang baik, demi keharmonian beragama di Malaysia seperti sebelum isu ini timbul.
Akan tetapi, seperti seolah-olah boleh dibaca isu ini semacam ada terselit di dalamnya agenda tersirat, yang semakin hari semakin terbongkar.
Seolah-olah telah diprogramkan agar isu ini menjadi sedemikian rupa. Isu ini di mahkamah sekarang. Pihak Kementerian Dalam Negeri (kerajaan) telah berjaya mendapat 'interim order', agar perlaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan mereka menggunakan kalimah Allah, ditangguhkan sementara sehingga Mahkamah Rayuab bersidang nanti.
Apapun keputusan mahkamah nanti, yang pastinya ia akan berakhir dengan kemenangan, hanya di satu pihak dan tidak akan seri. Kalau menang plaintif, pihak defendan akan kecewa, demikian sebaliknya.
Yang pasti akan ada kekecewaan, tertekan dan terkilan. Jika ini berlaku dan pasti akan berlaku, maka bagaimana mungkin isu ini akan reda, bagaimana isu ini akan tamat buat selama-lamanya?
Isu ini amat sensitif kerana ia menyentuh amalan harian, menyentuh jiwa agama dan menyentuh hati penganut Islam yang cintakan Allah Yang (Maha) Sempurna, Yang Tunggal, Allah Yang Kudus dan Tanpa Anak.
Belumpun sampai ke penghujung isu ini hendak ditangani, sekarangpun sudah mula bercelaru dan amat keliru bila pihak kerajaan mengisytiharkan bagi Sabah dan Sarawak, isu ini kononnya tidak berbangkit, kerana mereka dibenarkan menggunakan kalimah Alla, atas alasan tidak ada undang-undang yang melarang mereka berbuat demikian di sana.
Ertinya di Semenanjung, semua negeri tidak boleh. Telah ada enakmen Majlis-Majlis Agama Islam negeri tidak membenarkan selain dari umat Islam menggunakan kalimah Allah.
Di Sabah dan Sarawak boleh. Umat Islam di sana telah bangun menentang, ini yang celaru dan haru biru.
Kerajaan berkata mahu menerapkan 1Malaysia, jika 1Malaysia semuanya di Malaysia sama sahaja. Ini sudah menjadi 2Malaysia. Sebahagian boleh, sebahagian tidak boleh. Tidak celarukah itu?
Dalam 1Malaysia, ada dua undang-undang yang bercanggah. Ini 'double standard'. Mengapa kerajaan tidak bertegas sejak lebih 2 tahun yang lalu, sudah ada muzakarah mufti-mufti Malaysia yang memutuskan bahawa penggunaan kalimah Allah, hanya untuk umat Islam sahaja.
Tidak lama selepas itu, seluruh jabatan-jabatan agama Islam negeri, menggubal undang-undang dan digazetkan. Mengapa tidak dikuatkuasakan lebih awal? Semua sudah siap, tunggu bertindak sahaja.
Sekarang ini seolah-olahnya pihak kerajaan sengaja untuk tidak bertindak, sebaliknya membiarkan isu ini dibawa ke mahkamah sivil.
Jikapun ke mahkamah, mengapa tidak ke Mahkamah Syariah? Tiap-tiap negeri ada bidang kuasa ada peruntukan membawa perkara sebegini ke Mahkamah Syariah.
Memandangkan kepada isu ini secara keseluruhannya, saya melihat, isu ini akan berlarutan kerana ada agenda tersembunyi.
Perkara yang menyentuh perihal paling asas dalam agama, iaitu isu Allah, bukan perkara kecil. Oleh kerana itu, tanganilah isu ini secara jujur, jangan sampai mengundang padah.
Walaupun mahkamah bukan tempat sebenarnya menyelesaikan perkara ini, kerana pada pendapat sesetengah pihak, mahkamah hanya melihat kepada aspek undang-undang dan tafsirannya mengikut selera pihak yang menafsirkannya, sedangkan isu ini menyentuh jauh ke dalam hati dan lubuk jiwa umat Islam.
Ia mesti diselesaikan secara Islam. Untuk menyelesaikannya secara Islam, harus dirujuk kepada firman Allah:
"Katakanlah (wahai Muhammad): "Hai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku" Surah al-Kafirun.
Cuba kita renung ayat ini secara keseluruhannya, secara khususnya ungkapan, "Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah."
Kita menyembah Allah. Allah tuhan kita. Mereka menyembah God. God tuhan mereka. Allah sebut dengan begitu jelas, mereka tidak akan menyembah tuhan yang kita sembah.
Bagi kita agama kita Islam. Bagi mereka agama mereka Kristian. Wallahua'lam.
Sumber : Harakah