SOALAN:
Dato', betulkah ada di dalam al-Quran sekarang ayat-ayat yang tidak boleh diguna pakai. Dalam erti kata lain, ayat ada tetapi hukumnya tidak boleh diterima pakai. Betulkah begitu? Bolehkah Dato' perjelaskan kekeliruan saya? MAISARAH ABDULLAH, Menerusi emel
JAWAPAN:
Pertanyaan anda mungkin dimaksudkan dengan persoalan nasakh & mansukh. Persoalan nasakh & mansukh ini perlu difahami dengan baik.
Elok difahami dahulu makna nasakh. Nasakh ertinya buang, atau tukar ganti. Di dalam al-Quran ada nasakh yang khusus, seperti firman Allah (mafhum-Nya):
"Apa sahaja ayat keterangan yang Kami mansukhkan (batalkan), atau yang Kami tinggalkan (atau tangguhkan), kami datangkan ganti yang lebih baik daripadanya, atau yang sebanding dengannya. Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu?" (Surah al-Baqarah, ayat 106)
Ayat itu secara jelas, Allah nyatakan ada ayat al-Quran yang dibuang, atau dinasakhkan hukumnya. Di dalam al-Quran disebut, nasakh ayat dengan ayat.
Ertinya ada ayat al-Quran, di dalam al-Quran yang kita gunakan sekarang, hukum telah dibuang, dan diganti dengan hukum baru yang disebut dalam ayat yang baru.
contohnya, firman Allah (mafhum-Nya):
"Dan orang-orang yang (hampir) mati di antara kamu serta meninggalkan isteri, hendaklah berwasiat untuk isteri-isteri mereka, iaitu diberi nafkah sagu hati (makan, pakai & tempat tinggal) hingga setahun lamanya, dengan tidak disuruh pindah daripada tempat tinggalnya...(hingga akhir ayat)." (Surah al-Baqarah, ayat 240)
Ayat ini menurut sesetengah mufassirun, bermaksud isteri yang kematian suami, hendaklah terus tinggal di rumah suaminya itu selama satu tahun, dengan mendapat nafkah (belanja hidup), daripada harta peninggalan suami sepanjang setahun.
Kemudian Allah nasakh tempoh setahun itu, dengan ditukarkan dengan tempoh 4 bulan 10 hari, menerusi firman-Nya (mafhum-Nya):
"Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama 4 bulan 10 hari...(hingga akhir ayat)." (Surah al-Baqarah, ayat 234)
Ini disebut dalam istilahnya oleh fuqaha, ayat mula tadi (al-Baqarah, ayat 240) mansukh (terbatal atau tertukar). Manakala ayat kedua (al-baqarah, ayat 234) adalah naasikh.
Demikian juga dalam ayat yang mula tadi, tempoh nafkah selama setahun, dinaskhkan oleh ayat pusaka, yang memperuntukkan kepada isteri yang kematian suaminya, dia mendapat 1/8 dari harta suami atau 1/4, bergantung kepada keadaan waris-warisnya.
Firman Allah (mafhum-Nya):
"Dan bagi kamu 1/2 daripada harta yang ditinggalkan oleh isteri-isteri kamu jika mereka tidak mempunyai anak.Tetapi jika mereka mempunyai anak maka kamu beroleh 1/4 daripada harta yang mereka tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang mereka wasiatkan & sesudah dibayar hutangnya. Dan bagi mereka (isteri-isteri) pula 1/4 dari harta yang kamu tinggalkan, jika kamu tidak mempunyai anak. Tetapi kalau kamu mempunyai anak maka bahagian mereka (isteri-isteri kamu) ialah 1/8 dari harta yang kamu tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang kamu wasiatkan, dan sesudah dibayarkan hutang kamu ... (hingga akhir ayat)." (Surah an-Nisa, ayat 12)
Hal-hal sebegini memang wujud dlam al-Quran, ia dikenali sebagai naasikh mansukh. Perkara ini hanya diketahui oleh ilmuan Islam & tersangat panjang perbahasannya dalam kitab-kitab tafsir.
Dalam pada itu berlaku khilaf di kalangan ulama, di dalam menafsirkan ayat-ayat berkenaan. Ada ayat yang dikatakan sesetengah mufassirun sebagai mansukh, manakala sebahagian yang lainnya mengatakan tidak, dengan dalil masing-masing yang panjang lebar.
Yang penting, anda perlu memahami bahawa wujud naasikh mansukh itu dalam al-Quran. Mengapa berlaku demikian? Hikmah sebenar hanya Allah sahaja yang mengetahui. Tetapi Allah menyebut dalam ayat yang awal tadi, jika berlaku pemansuhan, Allah gantikan dengan yang lebih baik daripadanya, atau sama dengannya, dengan sedikit sebanyak perbezaan.
Ini menunjukkan bahawa Allah mengetahui keperluan manusia & Allah menunjukkan ada ketikanya, hukum Islam itu rigid (tidak berubah) & ada ketikanya hukum Islam itu fleksibel (lunak) & boleh berubah.
Atas itulah maka fuqahak secara khusus mengambil langkah berijtihad, berusaha mengeluarkan hukum-hukum baru yang diperlukan oleh ummah, bagi menyesuaikan Islam bagi perkara-perkara yang diharuskan, dengan perantaraan hukum-hukum ijtihad.
Hukum ijtihad, adalah hukum yang boleh berubah-ubah. Hukum al-Quran yang sabit, ada sekarang, adalah hukum qat'ie (tidak boleh berubah).
Hukum yang tidak boleh berubah tidak boleh berubah tidak banyak. Terutamanya hukum hudud. Hukum yang boleh berubah adalah hukum zanni atau hukum ijtihad, ia berubah mengikut keperluan masa & keadaan. Wallahu a'lam.
Sumber : Harakah