SOALAN:
Rasuah yang digembar gembur oleh pemerintah kita sekarang ini, kononnya hendak dibanteras & dibasmikan. Nampaknya bukan sahaja tidak dilakukan, tetapi ia hidup & diamalkan secara terbuka & amat terserlah. Ini dapat dilihat secara jelas dalam kempen-kempen pilihan raya termasuk yang baru lepas di Hulu Selangor, mahupun di Sibu. Saya memohon Dato' berikan pendapat dari sudut hukum Allah & rasul-Nya. Terima kasih di atas penjelasan Dato' - ABDUL RAHIM ABD RAHMAN, Batang Melaka, Melaka
JAWAPAN:
Islam yang sebenar adalah Islam yang amat melarang & mengancam pelaku rasuah dengan seksa Allah yang amat dahsyat di dunia & di Akhirat.
Rasuah adalah musuh Islam & umatnya. Musuh pemerintah yang bersih dalam mana-mana pemerintahan dunia, sama ada pemerintah yang Islam atau bukan Islam.
Rasuah adalah barah yang menghinggapi negara. Jika tidak segera dirawat, ia akan mengancam keselamatan negara & menghancurkannya.
Tidak ada di dalam sunia, yang maju ataupun mundur, ada negara yang menghalalkan rasuah.
Hatta di sebahagian negara yang tidak Islam menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas pelaku rasuah yang disabitkan.
Amalan rasuah adalah amalan jijik. Pelakunya rendah moral, 'low class citizen' yang sepatutnya memegang apa-apa jawatan dalam negara.
Hatta kerani rendah pun, jika sabit mereka melakukan amalan rasuah, maka mereka tidak layak lagi berada di dalam pejabat.
Andainya rasuah dilakukan oleh pemerintah atau orang-orang yang berkuasa, dalam sesebuah negara atau jabatan, maka bagaimana dia boleh berada di tempat itu.
Bagaimana rakyat yang ramai boleh menerimanya jika rakyat menerima & menyokongnya, maka rakyat juga terlibat dengan rasuah. Ini disebut dalam konteks undang-undang manusia sebagai 'a sharing partner in crime' (pihak yang terlibat sama dalam jenayah).
Mahukah kita menjadi penjenayah dalam kehidupan yang sementara ini? Rasuah adalah jenayah besar. Sebelum ini menjadi jenayah kepada negara & rakyat, rasuah telah menjadi jenayah yang besar terhadap Allah SWT iaitu melawan & melanggar hukum Allah.
Dalam Quranul karim Allah berfirman (mafhum-Nya):
"Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim (atau pemerintah) kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)." (Surah al-Baqarah, ayat 188)
Dalam Tafsir al-Qurtubi, juzuk II halaman 340, diulas secara nyata & disebut bahawa rasuah itu berlaku dengan memberi sesuatu secara batil (tidak betul), kepada seseorang agar ia menunaikan hajatnya.
Merujuk kepada tindak tanduk sesetengah pemimpin, apabila berlaku pilihan raya, maka pihak tertentu, khususnya yang berkuasa, menyogok atau memberi dengan nyata, atau menjanjikan imbuhan untuk diberi, sekiranya mereka memberi undi atau menyokong sehingga pihaknya menang dalam pilihan raya.
Ini jika dilihat dari sudut syarak, adalah termasuk dalam amalan rasuah. Kerana, mengapa diberi suatu untuk meminta sesuatu secara batil?
Jika sabit rasuah, maka Rasulullah SAW dalam hadisnya menyebut dengan jelas dalam hadis baginda (mafhumnya):
"Yang memberi rasuah, menerima rasuah & orang perantaraan untuk menguruskan penyaluran rasuah, semuanya di dalam neraka."
Hadis-hadis sebegini cukup banyak, membawa makna sedemikian.
Hadis-hadis tersebut ada yang diriwayatkan oleh Abi Daud, At-Tirmizi, al-Imam Ahmad & lain-lain.
Oleh itulah maka, amalan rasuah, bukan sahaja ditolak oleh undang-undang dunia, tidak diterima oleh mana-mana budaya manusia, lebih-lebih lagi undang-undang Allah yang amat melarang amalan rasuah.
Maka sepatutnya, semua masyarakat, seluruh warga negara, perlu memandang berat kepada amalan rasuah.
Jika sudah ternyata benar itu adalah rasuah, maka sepatutnya, masyarakat bimbang kutukan & amaran Allah, kerana seolah-oalah mengundang azab Allah SWT. Berhati-hatilah wahai bangsaku. Wallahu a'lam.