Bersama Dato' Dr Haron Din: Relevankah Mazhab Fikah Yang Terhasil Pada Zaman Silam

SOALAN:
Mazhab-mazhab fikah yang dijadikan rujukan oleh para ulama kita sekarang, apakah ia masih relevan, kerana ia sudah begitu lama terhasil di zaman silam, entah kurun yang ke berapa. Bolehkah kita merujuk kepada hukum-hukum fikah dalam mazhab tersebut dengan meninggakan al-Quran & al-Sunnah sama sekali sedangkan kita sekarang sudah mampu merujuk kepada al-Quran & al-Sunah. Terima kasih Dato' - Shafie Mohd Baki, Sitiawan Perak

JAWAPAN:
Kekeliruan anda adalah juga kekeliruan ramai orang sejak akhir-akhir ini. Mungkin kerana terpengaruh dengan kata-kata setengah ilmuan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda, "Aku tinggalkan kepada kamu 2 perkara, sekiranya kamu berpegang kepada kedua-duanya, kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu al-Quranul Karim & Sunnah-sunnahku" (Hadis sahih)



Mafhum secara mendatar kepada hadis ini memanglah sejajar kepada yang anda sebut, iaitu Nabi SAW menyuruh kita berpegang kepada al-Quran & as-Sunnah, tidak yang lain.


Tetapi apakah itu maksud sebenar yang dikehendaki baginda?


Jika hendak digunakan hadis sebegini untuk mengelirukan orang awam, memang mudah.


Hujahnya Nabi SAW suruh ikut al-Quran & as-Sunnah, mengapa hendak ikut ukama ataupun mazhab?


Perkara utama yang kita kena benar-benar faham, bahawa mazhab-mazhab fikah yang muktabar (boleh diterima pakai), adalah mazhab yang empat yang terkenal iaitu Hanafi, Maliki, Syafie & Hambali.

Mazhab-mazhab ini masih wujud. Ia diistilahkan dengan Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Ulama-ulama umumnya bersetuju & mengakui bahawa keseluruhan mazhab ini tidak menyalahi al-Quran & as-Sunnah.


Mengikut mazhab bererti mengikut al-Quran & as-Sunnah, mengikut tafsiran mazhab-mazhab yang terbabit.


Jangan sekali-kali anda menerima kata-kata bahawa berpegang dengan mazhab bererti membelakangi al-Quran & as-Sunnah. Tidak begitu & sekali-kali tidak. Berpegang dengan mazhab adalah berpegang dengan al-Quran & as-Sunnah.

Pengasas-pengasas mazhab fikah Islam, terdiri daripada ulama-ulama besar yang menghafal al-Quran & menghafaz banyak hadis. Mereka amat mahir dengan al-Quran & as-Sunnah, ingatan mereka terhadap kedua-dua sumber ini amat menakjubkan.

Mereka dianugerahkan akal & ingatan yang cukup hebat.Ketakwaan yang sungguh genuine (tulen). Mereka amat takut kepada Allah. Takut mengeluarkan fatwa yang bertentangan dengan al-Quran & as-Sunnah.


Mazhab-mzhab ini adalah merupakan taksiran kepada nas-nas hukum & memperincikannya berdasarkan kefahaman mereka yang mendalam berdasarkan kepada nas syarak. Kelainan & berbezanya pendapat mereka antara satu sama lain dalam sesuatu masalah, menunjukkan kefahaman mereka kepada nas-nas syarak & yang mereka berbeza pada umumnya berkaitan dengan soal cabang, serta dalam ruang lingkup yang dicapai akal mereka, memecahkan kebuntuan dalam menetapkan sesuatu hukum.


Perbezaan ini bukannya menyanggahi sesuatu hukum,  malah melebarluaskannya bagi kemudahan umat Islam mengamalkannya.


Tugas mereka adalah tugas ijtihad. Ijtihad mereka diperjelaskan oleh Rasulullah SAW dalam hadis sahih baginda yang bermaksud, "Sesiapa berijtihad & ijtihad mereka berbetulan dengan kehendak syarak, maka Allah SWT memberikan kepadanya 2 pahala, dan seandainya ijtihad mereka tersasar dengan secara tidak sengaja, maka Allah SWT berikan kepada mereka 1 pahala."


Malah ada kaedah yang menyebut bahawa : "Setiap yang berijtihad itu adalah betul."


Bukan sahaja mazhab-mazhab itu yang berbeza, malah antara sahabat sendiri pun berbeza. Sejak kewujudan (enabian) Rasulullah SAW di kalangan para sahabat berlaku perselisihan pendapat.


Mereka merujuk kepada Nabi SAW & selesailah pertelingkahan mereka. Jika di kalangan sahabat pun berbeza pendapat, sedangkan mereka berpegang kepada punca hukum yang betul lagi sahih iaitu al-Quran & as-Sunnah, inikan pula pada zaman tabi'in & selepas atba' tabi'in. 

Tentulah akan berlaku perselisihan. Ini perkara biasa, seperti juga ulama zaman kita ini. Seluruh ulama berpandukan kepada 1 sumber hkum yang sama iaitu al-Quran & as-Sunnah, akan tetapi kefahaman mereka & tafsiran mereka berbeza. Maka perbezaan itulah dijadikan mazhab oleh orang-orang terdahulu.


Adapun sekiranya anda atau mana-mana orang mampu & benar-benar mampu memahami al_Quran & as-Sunnah tanpa berhajat dengan merujuk pendapat mana-mana mazhab, maka anda boleh berijtihad sendiri & mengeluarkan hukum sendiri. Hukum itu disebut hukum ijtihad.


Mampukah anda berbuat demikian? Jika mampu silakan. Akan tetapi sekiranya, kita masih meraba-raba mencari tafsiran & tidak dapat kita pastikan tafsiran kita betul atau tidak, maka yang mudah dirujuk adalah kepada pendapat atau tafsiran yang wujud kepada semua mazhab yang saya sebutkan.


Jika boleh melebihi mereka, maka teruskan berbuat demikian.


Yang ternyata, keilmuan kita tidak sampai kepada sebagaimana yang dimiliki ulama-ulama ini. Kita jauh tertinggal dalam serba serbi. Ilmu kita terhad, akal kita terhad, kepakaran pula lintang pukang, kepintaran mendalami & memahami nas-nas syarak sering terbantut. Macam-macam lagi kelemahan yang kita ada berbanding dengan ulama-ulama mazhab yang terdahulu.


Maka jalan yang selamat adalah, anda kajilah pandangan-pandangan dalam mazhab ini & tarjih (pilih) yang mana akal kita yakin dengan hakikat hukum.


Itulah dia mazhab, dan ia tetap relevan untuk pegangan kita sekurang-kurangnya sehingga ke hari ini.


Mazhab-mazhab fikah dengan segala perbendaharaan hukum-hukum yang ada dalam kitab-kitab terdahulu, masih dilihat sebagai suatu khazanah ilmu yang tinggi nilainya.


Umat Islam pada setiap zaman diajak untuk menghasilkan hukum-hukum fikah berdasarkan kepada keperluan semasa, dengan berijtihad dengan hukum-hukum baru untuk diketengahkan kepada masyarakat.


Jika ini boleh, maka semua pihak mengalu-alukan. Sekian, wallahua'lam.


Sumber : Harakah (Bil. 1636)