Haron Din Jawab Fitnah Merawat Guna Jin

Sepanjang menjalankan penyiasatan terhadap kumpulan Mama, kami di Mastika memang agak terperanjat apabila mengetahui ketua kumpulan ini mendakwa ramai ulama, ustaz & ustazah yang mengamalkan perubatan & rawatan tradisional dengan cara yang menyalahi agama.

Berdasarkan maklumat yang kami perolehi daripada pengikut kumpulan ini, termasuk pesakit-pesakit yang pernah berubat dengan Mama, mereka mengesahkan Mama telah berkata demikian.

Sewaktu berkunjung ke rumah Mama dulu, kami sempat berbual dengan seorang ahli keluarga terdekat Mama. Dalam perbualan itu, lelaki berkenaan turut mengiakan bahawa Mama memang menegah anak muridnya daripada mempercayai para ulama serta pengamal perubatan Islam yang membela jin & khadam.

Dakwanya juga, Mama tidak membenarkan muridnya mempercayai ulama terkenal, Dato' Dr Haron Din al-Hafiz yang mengetuai kumpulan Darussyifa. Kononnya ulama tersohor itu membela jin & khadam.

Seorang pembaca Mastika yang menghantar e-mel kepada Dhamran Sarahan juga ada mengatakan demikian. Penghantar e-mel tersebut, yang juga bekas pengikut Mama mengatakan, "ada saya nyatakan pada mama itu yg saya pernah berubat dgn ustaz, malangnya mama bilang ustaz itu & malah haron din sendiri serta anak2 buahnya juga ada jin. Seolah-olah beliau inginkan kepercayaan saya terhadap para ulama hilang."

Kami tidak mendiamkan hal ini. Pada 20 Ogos yang lepas, wartawan Mastika, Shamran Sarahan telah berjumpa dengan Dato' Dr Haron Din di Darussyifa, Bandar Baru Bangi, Selangor.



Dalam pertemuan itu, kami membincangkan beberapa isu, dan isu Mama ini juga telah kami suarakan. Kami jelaskna kepada Dr Haron serba ringkas tentang kumpulan Mama itu.

"Saya tak tahu apa-apa tentang kumpulan Ini! Saya tak pernah dengar," kata Dr Haron kepada kami.

Kami perincikan lagi mengenai kumpulan tersebut, temasuk dakwaan Mama yang menyatakan Dr Haron serta pengikut-pengikutnya membela jin.

Ulama tersebut terkejut dengan penjelasan kami tersebut, dan seraya itu berkata, "Apa buktinya kumpulan tersebut mendakwa begitu? Semua ini dakwaan yang tidak benar! Jangan menyebarkan fitnah pada orang lain!" tegas Dr Haron pada kami.

Berulangkali ulama ini menjelaskan dengan nada serius, semua dakwaan itu tidak masuk akal & tidak berasas sama sekali.

"Sejak dulu lagi, saya sering tekankan bahawa manusia tidak boleh berasosiasi, atau berhubungan dengan makhluk ghaib. Ia bercanggah dengan ajaran Islam," jelas beliau dengan lebih lanjut.

Kami turut nyatakan kepada Dr Haron, kumpulan Mama menyatakan ramai ulama & golongan-golongan agama seperti ustaz-ustaz & ustazah-ustazah adalah pembohong & sesat.

Dr Haron sekali lagi tegaskan kepada kami, semua itu hanya dakwaan kumpulan terbabit yang dibuat tanpa hujah & bukti yang waras. Kata Dr Haron, "Kalau tidak berasas, tak ada bukti, itu sudah menjadi satu fitnah!"

Selain itu, ulama tersebut menjelaskan, selama ini kumpulan yang diteraji beliau iaitu Darussyifa tidak pernah berselingung daripada masyarakat, dan sudah pun diketahui umum. Malah, Dr Haron sendiri secara terbuka meluangkan masa pada hari-hari tertentu untuk berjumpa dengan orang awam yang mahu mendapatkan perubatan dengannya.

"Tidak ada rahsia dalam kumpulan saya ini. Kalau ada mana-mana pihak yang meragui kami, apa salahnya berjumpa dengan saya. Kita boleh berdialog, berdiskusi atau berbincang dengan baik. Tidak baik kalau menyebarkan fitnah begini," kata Dr Haron lagi.

Terima kasih Dato' atas penjelasan tadi. Kami alihkan pertanyaan kepada ajaran Mama yang menegah pngikutnya membaca al-Quran. Kononnya, hanya orang yang mempunyai ilmu agama yang tinggi sahaja boleh membacanya.

Dr Haron Din sekali lagi terkejut, dan seraya itu membalas persoalan kami itu dengan berkata, "Al-Quran itu petunjuk buat umat Islam. Panduan & pedoman kepada manusia. Kita harus membaca & memahaminya, taida siapa yang boleh menegah seseorang daripada membaca al-Quran.

"Sesiapa sahaja boleh membaca al-Quran , tidak kira sama ada seseorang itu mempunyai ilmu agama yang tinggi atau tidak.Kalau kumpulan tersebut menegahnya, itu sudah salah!" tegas beliau.

Dalam hal ini, D Haron meminta kami menjelaskan apakah alasan kumpulan tersebut berbuat demikian. Apakah sumber & bukti, sama ada melalui hadis sahih yang menyatakan al-Quran hanya boleh dibaca oleh orang tertentu sahaja.

Kami jelaskan kepada beliau, daripada maklumat yang kami ketahui, kumpulan tersebut mendakwa kitab suci itu kononnya mempunyai 'pendamping' & 'khadam'. Sebab itu, ia tidak boleh dibaca sesuka hati.

Dr Haron din kelihatan berang. Beliau menegaskan, dakwaan itu benar-benar mengarut & tidak boleh dipercayai. Kata ulama tersebut dengan suaras yang tinggi, "Jangan ikut sedap muut menjatuhkan satu hukum. Ini sedah melanggar ajaran Islam. Al-Quran itulah panduan & pedoman kita, peninggalan terbesar Nabi Muhammad SAW kepada umat manusia. Ia patut dibaca, malah perlu difahami untuk bimbingan manusia."

Beliau turut menjelaskan, al-Quran itu mempunyai seribu satu rahsia tentang kehidupan manusia ini. Malah ia melebihi kehebatan sains, mahupun apa-apa ilmu yang ada di dunia ini. Misalnya, rahsia kejadian manusia, kewujudan alam & sebagainya lagi. Bahkan, orang barat sendiri banyak mencedok ilmu dalam kitab suci umat Islam ini.

"Mengapa kita perlu abaikan ilmu yang Allah berikan melalui kitab suci ini?" Dr Haron bertanya kembali.

Kami turut beritahu juga tentang ajaran kumpulan Mama yang menyuruh pengikut-pengikutnya supaya tidak menyimpan al-Quran, dan juga buku-buku Yaasin di rumah. Malah kami terangkan kepada Dr Haron, kumpulan tersebut menyeru penikutnya membakar al-Quran dan menanam buku Yaasin atas alasan kitab-kitab tersebut mempunyai 'khadam'.

Dr haron benar-benar tersentak. Menurutnya semua itu karut belaka, sama sekali melanggar hukum syarak. Ia bercanggah dengan ajaran Islam.

Ulama itu menjelaskan, tindakan kumpulan tersebut sama sahaja dengan menghina al-Quran. Perbuatan tersebut boleh menyebabkan mereka murtad, dan perlu bertaubat atas tindakan mereka itu.

Menurut Dr Haron lagi, al-Quran adalah kitab suci yang dipelihara oleh Allah SWT. Ia termaktub dalam hadis-hadis sahih. Lantaran itu, beliau sangat mencela apabila kumpulan terbabit mendakwa kitab-kitab suci mempunyai 'khadam'.

"Beritahu saya dari sumber mana mereka berani berkata begitu? Sebagai umat Islam, kitab ini sangat suci & tinggi martabatnya. Sedangkan hendak menyentuhnya sekalipun, kita perlu dalam keadaan suci, yakni berwusduk & bebas daripada hadas besar! Kalau kita membakar atau menanamnya, ia salah sama sekali berdosa besar!" tegas Dr Haron.

Menjawab persoalan tentang ajaran kumpulan itu yang menyatakan bahawa ayat Kursi mempunyai 'pendamping' & tidak boleh membaca Yaasin serta tahlil untuk sesuatu kematian, Dr Haron Din juga menolaknya.

Kata beliau, ayat Kursi adalah sebesar ayat yang pernah Allah utuskan kepada Nabi SAW. Malah kata beliau, ada hadis yang menyeru supaya kita sentiasa mengamalkan membaca ayat tersebut siang & malam.

Tiada salam hadis ataupun nas al-Quran yang melarang kita membaca tahlil untuk sesuatu kematian. Malah, beliau tegaskan terdapat hadis sahih yang menyeru umat Islam supaya membacakan Yaasin bila ada kematian.

"Kumpulan apa ini? Kalau al-Quran dan hadis-hadis sahih tidak melarang kita berbuat demikian, siapa kita cuba melarangnya?" sambung beliau lagi.

Selain daripada itu, Dr Haron juga tidak bersetuju dengan tindakan kumpulan terbabit yang melarang para pengikutnya menggantungkan ayat-ayat suci al-Quran, termasuk kalimah-kalimah suci Allah & Muhammad SAW di rumah.

Menurut Dr Haron, ia tidak salah jika sekadar perhiasan & untuk dibaca bagi mendapatkan pahala. Sebab itu, kebanyakan masjid & surau dihiasi dengan kalimah-kalimah suci Allah.

"Kalau bukan untuk 'menahan' apa-apa, hanya sekadar hiasan & dibaca untuk mendapatkan pahala, tidak salah? Malahan ia baik untuk keluarga & anak-anak," terang Dr Haron lagi.

Ulama itu bertanya, adakah bekas pengikut & pemberi maklumat yang bekerjasama dengan Mastika telah melaporkan hal ini kepada pihak berkuasa? Adakah sudah ada tindakan yang diambil terhadap kumpulan terbabit?

Kami jelaskan kepada Dr Haron, ada antara mereka yang telah melaporkan hal ini pada pihak terbabit, tetapi sehingga kini setahu kami masih belum ada tindakan yang diambil.

"Sepatutnya pihak berkuasa ambil tindakan. Kalau sudah membakar, ataupun menanam kitab suci al-Quran, ia terang-terangan melanggar hukum syarak. Perlu ambil tindakan!" tegas beliau.

Dr Haron berkata lagi, masalah kumpulan sangat serius kerana ternyata ia sudah menyimpang daripada ajaran Islam. Dalam hal ini, beliau menyarankan ahli kumpulan terbabit menggunakan akal & iman supaya membuat pertimbangan yang wajar. Setiap sesuatu yang dianjurkan oleh ketua kumpulan tersebut sepatutnya mempunyai sumber yang sahih & benar.

"Melinatkan aqidah! Jangan sampai jatuh murtad," jelas ulama tersebut lagi.

Sumber : Majalah Mastika Oktober 2007 (muka surat 114 - 118)