Bukan Kaedah Islam - Mubahalah Eskay Dibenarkan Menteri & Pengarah JAWI

Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din menegaskan isu berkaitan video seks yang didakwa melibatkan Ketua Pembangkang Dato' Seri Anwar Ibrahim mesti ditangani sepenuhnya menurut syariat Islam.

"Minat sungguhkah golongan ini untuk merujuk kes ini kepada hukum Islam? Ikhlas sungguhkah golongan yang meminta ini untuk melaksanakan hukum Islam?" tegasnya merujuk kepada sumpah laknat yang dibuat Dato' Shazryl Eskay yang mewakili tri-Umno di sebuah masjid di Sentul, 29hb April lalu.

Beliau turut kesal kerana segelintir pihak berkuasa agama membenarkan amalan sumpah laknat sedangkan penggunaan sumpah dalam isu video seks ini dijadikan perangkap untuk kepentingan pihak tertentu.

"Kalau hendak pada hukum syarak, biar semuanya (ambil kesemuanya) iaitu hukuman qazaf pun ada, hukum zina pun ada. Jangan kerana menolak hukum qazaf, hendak pakai mubahalah (sumpah laknat) sahaja, dengan harapan mubahalah itu sebagai perangkap; siapa yang tidak bersumpah maka dia bersalah," katanya lagi.


Sumber : Harakah (bil.1636)