Justeru itu, bersempena dengan bulan Ramadan Al-Mubarak ini, bulan dimana doa sangat mustajab, marilah kita sama-sama lakukan solat hajat dan berdoa mudah-mudahan Allah SWT memberikan kesembuhan kepada Tuan Guru Dato Dr. Haron Din.
Doa Untuk Tuan GuruDengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.
Segala puji bagi Allah, Tuhan seru sekalian alam, puji-pujian ke atas anugerah nikmat-nikmat-Nya dan Dialah yang menolak segala bala bencana dan kami bermohon dengan anugerah kelebihan-Nya. Ya Allah, wahai Tuhan kami, bagi-Mu segala kepujian sebagaimana yang selayaknya dengan kebesaran zat-Mu dan kemuliaan serta keagungan kekuasaan-Mu.
Wahai Allah! Rahmatilah ke atas junjungan kami Nabi Muhammad SAW dan juga ke atas ahli keluarga dan para sahabat baginda kesemuanya.
Ya Allah, anugerahkanlah ke atas Tuan Guru Dato Dr. Haron Din, penawar daripada penawar-Mu, kesembuhan daripada kesembuhan-Mu dan keberkatan daripada keberkatan-Mu, juga rahmat daripada rahmat-Mu terhadap penyakit-penyakit yang dialami olehnya, sembuhkanlah dia, sembuhkanlah dia, sembuhkanlah dia dengan rahmat-Mu, Ya Allah wahai Yang Paling Mengasihani daripada segala yang mengasihani.
Kami bermohon kepada Allah yang maha agung , Tuhan yang memiliki Arasy yang agung agar Allah menyembuhkan Tuan Guru kami.
Ya Allah sesungguhnya Engkau mengetahui yang zahir dan yang rahsia daripada kami maka ampunilah kami, dan Engkau mengetahui hajat-hajat kami maka tunaikanlah hajat-hajat kami , ya Karim Ya Allah wahai Yang Paling Mengasihani daripada segala yang mengasihani.
Amin.
Berikut adalah maklumat terkini yang diterima daripada anak sulung dan anak ketiga Tuan Guru (Dr. Huda & Puan Salwa).
Khamis, 11-Ogos-2011
Dengan berlepasnya rombongan Darussyifa' ke Mekah pada 10-Ogos-2011, maka sahihlah Tuan Guru tidak turut serta. Semua aktiviti dan program bulan Ramadhan tahun ini sudah dibatalkan. Hajat Tuan Guru hendak mengerjakan haji tahun ini juga hampir pasti dibatalkan. Kegirangan kami adik-beradik hendak balik berhari raya di kampung juga hampir pasti dibatalkan.
Selama Tuan Guru telah discaj dari IJN, beliau ada mendapat serangan-serangan kecil terutamanya selepas berbuka puasa, juga ketika dan selepas solat tarawikh (apabila jantung bekerja lebih kuat daripada biasa). Alhamdulillah ubat GTN spray memberi kesan setakat ini.
Setiap kali selepas berbuka puasa cucu-cucu lelaki akan pimpin Tuan Guru naik ke atas untuk masuk ke bilik. Setiap malam selepas solat tarawikh kami makan moreh di bilik Tuan Guru sambil bergilir-gilir memicit kakinya. Tuan Guru suka dikelilingi anak-anak, jadi kami hampar saprah dan buat kenduri dalam biliknya atau lebih tepat lagi buat sepah dalam biliknya.
Kami pernah menyarankan supaya Tuan Guru balik semula ke IJN, tetapi beliau masih nak tunggu review laporan rawatan tempoh hari, terutamanya review daripada doktor di US.
Kesimpulannya: Tuan Guru sudah pulih daripada serangan yang kuat tempoh hari. Tetapi masih perlu berehat kerana masih sering mendapat serangan yang kecil.
Salwa binti Haron
11-Ogos-2011
(P/S: Puan Hajah Salwa binti Haron adalah anak ketiga Tuan Guru)
Jumaat, 5-Ogos-2011
Ini adalah mesej daripada Tuan Guru
Assalamualaikum,
Saya sudah keluar dari IJN dan pulang ke rumah. Selama ditahan di CCU IJN, saya telah melalui tiga prosedur rawatan; 1) angiogram, 2) ultrasound angiogram, 3) MRI. Laporan pemeriksaan masih bawah penelitian doktor. Saya dibenarkan pulang untuk berehat dan akan melalui temujanji susulan dengan doktor di IJN. Doktor telah menasihatkan saya supaya berehat, dan saya akan bercuti beberapa hari. Pulang dari IJN dan berehat di rumah, saya sempat melayari laman web dan facebook Darussyifa’. Saya juga membaca email-email dalam google group ahli Darussyifa’. Membaca komen yang jumlahnya mencecah ratusan, saya sangat teruja dan terharu dengan ingatan, doa, dan kata-kata perangsang daripada tuan-tuan/puan-puan. Saya ucapkan jutaan terima kasih dan Allah sajalah yang layak membalasnya.
Haron Din. 4 Ogos 2011
Khamis, 4-Ogos-2011
Syukur Alhamdulillah, pada hari ini keadaan Tuan Guru telah beransur pulih. Tuan Guru telah discaj dari IJN pada pagi ini jam 11:30 pagi. Beliau akan berehat beberapa hari.
Rabu, 3-Ogos-2011
Dalam sebulan dua ini kami perasan Tuan Guru kerap menggunakan kembali GTN spray selepas aktiviti yang agak membebankan cuma beliau tidak pernah merungut malah tidak pernah mengadu pada kami ataupun kepada sesiapapun, cuma dalam 2-3 minggu terakhir ini kadangkala terpaksa berhenti sejenak jika jadual yang diaturkan terlalu padat dan mendesak.
Syukur Alhamdulillah, pada hari ini keadaan Tuan Guru telah beransur pulih. Tuan Guru telah discaj dari IJN pada pagi ini jam 11:30 pagi. Beliau akan berehat beberapa hari.
Rabu, 3-Ogos-2011
Dalam sebulan dua ini kami perasan Tuan Guru kerap menggunakan kembali GTN spray selepas aktiviti yang agak membebankan cuma beliau tidak pernah merungut malah tidak pernah mengadu pada kami ataupun kepada sesiapapun, cuma dalam 2-3 minggu terakhir ini kadangkala terpaksa berhenti sejenak jika jadual yang diaturkan terlalu padat dan mendesak.
Selepas rawatan jantung di Stanford Hospital, genap setahun yang lalu, Tuan Guru tidak memerlukan GTN spray walaupun ketika mengerjakan ibadah umrah. Namun begitu setiap aktiviti yang telah dirancang diselesaikan dengan penuh tanggungjawab.
Hujung minggu setiap bulan, Tuan Guru terikat dengan kuliah serta kelas-kelas pengubatan di tiga negeri dengan jarak untuk rehat antara program yang sempit, maka ketika kelas pengubatan di Alor Setar (30 Julai 2011) Tuan Guru mula mendapat serangan-serangan yang agak kuat dan pada malamnya serangan jantung yang kuat, tidak dapat diredakan dengan GTN spray, sehinggakan habis sebotol. Dada seperti dihimpit batu, sesak nafas serta bahu kiri hingga hujung tangan kebas sepenuhnya.
Kami yang telah pulang lebih awal dari Perlis ke Bangi melalui jalan darat mendapat berita dari Perlis. Kami berusaha mengaturkan agar Tuan Guru dapat pulang dengan segera untuk rawatan di IJN, malangnya tiket penerbangan telah habis ditempah pada pagi Ahad (31-Julai-2011). Pertolongan Allah datang melalui seorang hamba Allah yang sudi memberikan tempat duduk penerbangan yang telah ditempahnya kepada Tuan Guru.
Tuan Guru dikejarkan ke Unit Kecemasan IJN. Melalui pemeriksaan dan ECG, Tuan Guru didapati mengalami serangan 'unstable angina' dan perlu dipantau berkala di CCU berserta rawatan. Sehingga ini dua kali ujian angiogram telah dijalankan (Isnin dan Selasa) dan diikuti juga ujian MRI, tetapi keputusan masih belum muktamad.
Berkat doa semua, Alhamdulillah Tuan Guru semakin pulih.
Keadaan semakin baik dengan parameter yang semakin stabil, seperti laporan Adinda Salwa, Tuan Guru sudah mula berjalan selepas tempoh edah Angiogram. Mula berselera untuk makan. Kini telah dipindahkan ke wad biasa.
Kami masih menuggu keputusan muktamad Dato'Amin dan Dato' Rob untuk perancangan seterusnya setelah keputusan MRI dibahaskan.
Jutaan Terima Kasih pada yang sudi menitipkan doa, hanya Allah yang layak membalasnya.
Dr. Huda & Dr. Azlin
Sumber : Darussyifa' Online