Gerunlah Azab Allah Dengan Amalan Rasuah

oleh : INTAN ABDULLAH

KUALA LUMPUR: Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din menyeru agar semua pihak berasa takut & gerun terhadap azab Allah ke atas dosa melakukan rasuah. "Takutlah kepada azab Allah walaupun kita dapat sedikit habuan dunia, akan tetapi pulang modalkah kalau kita bakal mendapat murka Allah di Akhirat. Atas sebab itulah hukum Islam mengharamkan riba sejak zaman Rasulullah SAW sehingga ke hari ini sampai ke hari Kiamat," katanya kepada HARAKAH.
Jelasnya, sejak akhir-akhir ini amalan rasuah telah wujud & menjadi suatu amalan murni seolah-seolah rasuah tidak diperlihatkan sebagai suatu kesalahan malah mereka seperti berbangga dengan amalan itu.
"Contoh yang jelas merasuah pilihan rya. Terkini dalam Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor. Seluruh dunia mengikuti bermacam pemimpin menawarkan projek pembangunan yang dijanjikan dalam pilihan raya kecil itu jika mereka menang," ujarnya.
Malah tambah Ustaz Haron, wang tunai yang diisytiharkan itu bernilai ratusan ribu tetapi telah mencecah jutaan ringgit ditawarkan secara terbuka seperti yang berlaku di Felda Sungai Buaya, bukan sahaja orang tempatan mengetahuinya malah seluruh negara & dunia dapat melihat & tahu dengan terang-terang itu adalah rasuah politik.
"Sewaktu Islam mula-mula berkembang di Madinah khususnya dalam konteks penubuhan negara Islam pertama, amalan rasuah ini hampir tidak pernah disebut malah mungkin (tidak) berlaku di zaman Rasulullah sebagai ketua negara," katanya lagi.
Namun demikian ujarnya, terdapat ayat al-Quran yang menyentuh tentang rasuah dalam surah al-Baqarah yang bermaksud: "Dan jangan kamu makan harta di kalangan kamu secara batil (haram) & kamu mengupah atau menyogok kepada orang ramai dengan melakukan dosa sedangkan kamu mengetahuinya."
Ayat ini jelas menyentuh tentang perihal rasuah yang diharamkan oleh Islam, dan lebih jelas dari itu Rasulullah SAW dalam hadis sahih menyebut yang bermaksud: "Pemberi rasuah, penerima rasuah & orang perantaraan menguruskan rasuah (orang tengah) semuanya sama akan dimasukkan ke dalam neraka."
"Namun demikian pihak yang telah melakukan sama ada yang memberi, menerima & orang-orang perantaraan pengurusan rasuah telah melakukan kesalahan yang melanggar undang-undang negara, undang-undang moral manusia & lebih-lebih lagi hukum Allah seperti yang dijelaskan," jelasnya lagi.
Ustaz Haron berkata, masalah ini nampaknya semakin berleluasa, bagi rakyat yang prihatin,& komited dengan hukum agamanya hendaklah bertanggungjawab untuk menghapuskan amalan tersebut dengan tidak memberi kepercayaan atau undi kepada orang-orang yang telah sabit rasuahnya.
"Di zaman rasuah tidak menjadi budaya dalam masyarakat, tentulah sukar untuk difahami kenapa Islam mengharamkan rasuah & menjanjikan hukuman yang begitu berat."
"Akan tetapi bagi kita hari ini yang hidup dalam budaya rasuah & ianya menjadi seolah-olah satu kemestian terpaksa menggunakan saluran rasuah untuk merasuah sesuatu kehendak seperti hendak mendapat tender atau kedudukan, kenaikan pangkat atau hendak mendapat satu layanan istimewa daripada pemerintah," tegasnya.
Ustaz Haron berkata, semuanya melalui rasuah yang dengannya sistem moral yang sepatutnya dipelihara oleh pemerintah & orang-orang yang menjadi amanh pemerintah telah dicemari oleh amalan rasuah sehingga ada tanda aras atau benchmark negara rasuah & dunia mengetahui rangking negara rasuah.
Ada kedudukan nombor satu, dua, tiga & seterusnya & Malaysia termasuk dalam salah sebuah negara yang ranking rasuahnya tertinggi. Bila ini berlaku, maka nama baik negara tercemar dengannya juga negara menanggung kerugian besar di mana pelabur-pelabur asing agak keberatan untuk memasuki modal mereka di negara yang tersenarai sebagai negara rasuah," tegasnya lagi.

sumber : Harakah