Bersama Dato' Dr Haron Din: Lalang Disemai, Mustahil Menghasilkan Padi

SOALAN:
Apakah ada kesan atau tindak balas yang nyata daripada karektor insan yang mematuhi perintah Allah & melaksanakan syariat-Nya atau yang melanggarinya dalam kehidupan insan di dunia yang boleh dijadikan iktibar serta teladan. Mohon Dato' jelaskan - KHAIRUL AMIN, SERDANG

JAWAPAN:
Menjadi lumrah dalam penghidupan di dunia ini, semua insan memahami bahawa apa yang ditanam, maka hasil daripada tanaman itulah yang dituai.
Jika lalang yang disemai maka ia sesekali tidak akan menghasilkan padi buat selama-lamanya. Ertinya apa-apa jenis usaha yang dilakukannya, maka biasanya daripada jenis mana usaha itu dilakukan, maka daripada situlah juga hasilnya.
Demikianlah juga dengan amalan manusia, beramal dengan amalan-amalan kebaikan, maka akan didapati hasil daripada kebaikannya.
Jika amalannya buruk maka begitulah hasilnya.
Balasan adalah mengikut amalan. Inilah yang difirmankan Allah (mafhum-Nya):
"Maka sesiapa berbuat kebajikan sebesar zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat malannya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan sebesar zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalannya!)" (surah Az-Zalzalah, ayat 7-8)
Dari sudut kesannya dalam penghidupan di dunia, tentulah juga dapat dilihat seperti persoalan yang diajukan. Apa yang dilakukan, maka balasannya sedemikian juga.
"Tangan mana yang mencincang, maka di bahu pencincang itulah yang akan memikul"
Manusia semuanya dianugerah Allah kepadanya perasaan. Perasaan itu lahir kesannya. Sama ada senang, susah, tenang, gelisah, reda, gelora & berbagai-bagai lagi.
Semua orang mengkehendaki berlaku ke atasnya yang seronok sahaja, tidak mahu yang sengsara.
Semuanya itu bergantung kepada perasaan. Punca segala-galanya adalah adalah hati nurani insan.
Rasulullah SAW menyebut dalam sebuah hadis yang mafhumnya:
"Ingatlah bahawa di dalam jasad ada segumpal darah; jika baik ia, maka baiklah seluruh jasad & jika rosak ia, maka rosaklah seluruh jasad, itulah dia hati nurani (kalbu)"
Kalbu yang dimaksudkan di sini ada banyak maknanya, dari segi istilah kalbu yang diterjemahkan sebagai jantung atau 'heart'. Ia adalah organ fizikal. Jika itu maknanya pun, boleh juga disebut pada konsepnya, jantung fizikal ini, jika rosak ia, maka rosaklah penghidupan.
Jika sihat ia, maka sihatlah seluruh penghidupan. Namun begitu, maksud kalbu dalam hadis ini, boleh diertikan sebagai hati nurani. Iaitu perasaan yang menguasai manusia.
Maka jika perasaannya gembira, maka hati nuraninya gembira, & damai sentiasa. Jika tidak, maka berlakulah sebaliknya.
Oleh itu, menjaga mendidik hati agar sentiasa gembira, ceria serta reda & pasrah kepada Allah, adalah kunci kepada penghidupan yang bahagia.
Inilah yang disebut dalam Al-Quran, seperti firman-Nya (mafhum):
"(Iaitu) orang-orang yang beriman & tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah denga zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia" (Surah Ar-Ra'd, ayat 28)
Cuba renungkan maksud ayat di atas. Ada 2 kali Allah menyebutkan perkataan yang merujuk kepada 'tenang hati'. Kedua-duanya dikaitkan dengan zikrullah.
Itulah kesan nyata yang boleh dilakukan oleh orang-orang yang memahami makna ketenangan, kesenangan & kebahagiaan yang dikehendaki.
Contoh mudah yang boleh dilihat kesan daripada amalan manusia. Cuba lihat insan yang melakukan kesalahan & melanggar peraturan kehidupan, adakah jiwa mereka tenang menjalani kehidupan?
Tidakkah dia akan resah gelisah, bimbangkan tindakan pihak berkuasa yang pada bila-bila masa terhadapnya.
Misalnya, seorang pesalah undang-undang yang dahsyat, jika melihat anggota keselamatan berlegar di kawasan rumahnya atau berada pada jalan yang sama dengannya, tenangkah dirinya? Tenangkah dalam tidurnya? Tenangkah dalam kehidupannya?
Tentulah dia akan dihantui resah gelisah, ia adalah kesan negatif yang terpaksa ditanggung akibat kesalahannya.
Demikian pula yang melakukan dosa terhadap Maha Pencipta. Bagaimana dia akan tenang perasaannya, apabila berfikir hal kematian, perihal alam kubur, akhirnya ke syurga
atau ke neraka.
Maka apabila dia melihat orang sakit, terfikir suatu hari dia akan sakit. Apabila dia melihat jenazah dimasukkan ke liang lahad, sudah pasti dia akan terfikir bahawa suatu hari nanti dia juga akan mati & dikuburkan.
Apakah kehidupan ini berakhir dengan kematian? Tidakkah dia terfikir bahawa majoriti manusia dalam alam dunia hari ini amat mempercayai tentang adanya hari pembalasan.
Semua hal-hal ini memberi kesan kepada penghidupan insan. Pastilah dia akan merasai natijah daripada perbuatannya itu, sama ada dia akan ke syurga atau ke neraka.
Untuk itu, kesan daripada amalan penghidupan ini memberi jawapan segera kepada manusia, bahawa yang mematuhi perintah-Nya akan beroleh kebahagiaan, sebaliknya mereka yang mengingkari perintah Allah akan mendapat kesusahan.
Ambillah iktibar daripada kisah-kisah umat yang silam. Ambillah iktibar apabila insan melakukan keingkaran secara terang-terangan & meninggalkan suruhan Allah secara berleluasa, apabila insan meminggirkan Islam, undang-undang ciptaan manusia disanjung, maka bala bencana ditimpakan ke atas mereka.
Musibah berlaku berulan kali. Penyakit atau wabak membawa maut seperti Influenza A, adalah antara siri hukuman Allah ke atas kesalahan manusia.
Semoga kita mendapat hidayah-Nya. Wallahu'alam.

Sumber: Harakah