SOALAN:
Sudah banyak kali saya mendengar cerita mengenai mukjizat Nabi Muhammad SAW membelah bulan. Cerita itu hakikatkah atau ilusi (khayalan) manusia zaman itu sahaja. Jika betul-betul bulan terbelah dua, tentu ada fakta fizikal secara geografi, kerana manusia berjaya mendarat di bulan, kesannya tentu dapat dilihat sehingga ke hari ini. Pernahkah manusia menemui kesan tersebut, apakah pandangan Dato' dalam hal sebegini - IBNU ABDULLAH, menerusi e-mel JAWAPAN:
Kisah bulan terbelah dua, bukan ilusi atau khayalan. Ia bukan sihir & silap mata. Malah ianya kisah yang benar-benar berlaku, sungguh berlaku secara waqi'e (berlaku di alam nyata). Bulan terbelah dua pada zaman Rasulullah SAW adalah kisah benar yang dirakam dalam Quranul Karim di satu surah yang Allah namakan sendiri Suratul Qamar (Surah Bulan). Firman Allah (mafhumNya):
"Telah hampir saat (kedatangan Hari Kiamat) & terbelahlah bulan. "Dan kalau mereka (kaum musyrik Makkah) melihat sesuatu mukjizat, mereka berpaling ingkar sambil berkata: (Ini ialah) sihir yang terus-menerus berlaku. "Dan (telah menjadi adat) mereka mendustakan (Nabi Muhammad & mukjizat-mukjizat yang dibawanya) serta menurut hawa nafsu mereka, sedang tiap-tiap perkara tetap (menurut keadaan yang ditentukan Allah). "Dan sesungguhnya! Telah sampai kepada mereka (dengan perantaraan Al-Quran), sebahagian daripada kisah-kisah & berita (umat-umat yang telah lalu), yang mengandungi perkara-perkara yang cukup untuk mencegah mereka (daripada perbuatan kufur itu). "(Yang demikian ialah) pengajaran yang cukup sempurna; dalam pada itu, segala peringatan & amaran tidak akan mendatangkan faedah (kepada mereka yang ingkar). (Surah Al-Qamar, ayat 1-5)
Amat jelas dalam ayat di atas bulan terbelah dua, kisahnya cukup jelas disebut dalam kitab-kitab sirah & hadis-hadis sahih antaranya, Al-Imam bin Ahmad bin Hanbal meriwayatkan hadis daripada Jabir bin Mat'am katanya (mafhum):
"Pada zaman Rasulullah SAW bulan telah terbelah dua, benar-benar terlihat dua belahannya, satu di bukit sebelah kanan, satu di bukit sebelah kiri. Orang-orang kafir berkata Muhammad telah melakukan sihir. Ada pula di kalangan mereka yang menjawab, kalau sihir dilakukan, maka yang kena sihir adalah kita di sini, & sihir tidak mungkin terkena kepada semua orang di tempat lain." (Hadis riwayat Al-Bukhari)
Apabila berlaku sedemikian, Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya:
"Ya Allah, kamulah yang menjadi saksi, ini adalah benar" Sabda Baginda lagi (mafhumnya):
"Nah! lihatlaha itu, ini adalah kejadian yang benar" Abdullah bin Mas'ud meriwayatkan hadis (mafhumnya):
"Bulan terbelah dua pada zaman Rasulullah SAW Quraisy berkata ini adalah sihir Ibnu Abi Kabshah. Mereka berkata lagi, tunggu dahulu, jangan percaya apa yang kita lihat ini, sehinggalah pengembala-pengembala di padang pasir dari ahli-ahli Badiah, tiba di Makkah dalam sehari dua ini, kita tanya tentang peristiwa ini, mereka melihat atau tidak. Kalau mereka tidak melihat, ini (bulan terbelah dua) adalah sihir, jika mereka melihatnya, maka apa yang kita nampak benar-benar berlaku"
Keesokan & beberapa hari berikutnya, maka tibalah pengembara-pengembara tersebut, semua mereka menceritakan peristiwa yang sama, bahawa mereka lihat pada malam itu, bulan terbelah dua. Namun demikian kuffar Makkah tetap mengingkarinya secara degil & keras kepala. Maka dari sinilah turunnya ayat yang saya paparkan di atas. Adapun bukti fizikal berdasarkan fakta, apakah di atas bulan terdapat rekahan yang menunjukkan bulan itu pernah terbelah dua. Memang telah wujud bukti tersebut.
Pengunjung-pengunjung bulan yang terdiri daripada angkasawan Amerika Syarikat & Rusia, pernah merakamkan gambar di atas bulan yang menunjukkan kesan rekahan besar di atas bulan, mengelilingi bulatan sebesar bulan itu. Gambar yang diambil telah tersiar pada beberapa akhbar dunia & disiarkan dalam sebuah majalah tempatan kita yang bernama al-Hunafa isu 2009/2010 di bawah tajuk 'Splitting of the Moon' yang bermaksud bulan terbelah. Gambar tersebut ada pada saya. Mungkin suatu ketika dapat kita siarkan. Oleh kerana telah disedari bahawa jika dibeasr-besarkan cerita tersebut & diketahui umum bulan terbelah dua, dengan kesan yang nyata, maka akan terbukitilah satu lagi bukti yang paling nyata & kuat.
Ia menjelaskan bahawa Al-Quran itu benar, mukjizat Nabi Muhammad SAW itu benar. Dengan sendirinya membuktikan Islam itu benar. Maka ketika itu akan kecewalah orang yang kuffar. Bahawa Rasulullah SAW membuktikan mukjizatnya kepada musrikin Makkah & dengan bukti pengembara padang pasir, telah menjadikan mereka keras kepala & mungkar. Mereka menolak kebenaran yang dibawa dengan nyata.
Lihatlah sekarang, dalam zaman sains & teknologi, amat terbukti dengan paparan yang begitu nyata bahawa bulan meninggalkan rekahannya di sepanjang lilit bulatannya, menandakan benarnya mukjizat yang telah berlaku ke atas Nabi Muhammad SAW. Inilah satu bukti nyata bahawa mukjizat nabi-nabi yang terdahulu, semuanya telah hilang kesan, sedangkan mukjizat Nabi Muhammad SAW, dengan Al-Quran sebagai kepala segala mukjizat boleh dilihat & dilihat sehingga sekarang. Ini membuktikan bahawa Islam adalah agama Allah yang benar. Wallahu a'lam
Sumber : Harakah